Laporan Bersatu kepada ROS tidak tepat

KOTA BHARU: Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menganggap laporan dibuat Bersatu kepada Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) banyak yang tidak tepat.

Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, antaranya Bersatu mendakwa tidak dipanggil pada mesyuarat PN ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, Bersatu mendakwa parti itu tidak dipanggil pada mesyuarat tersebut.

“Sedangkan sebelum mesyuarat PN diadakan pada 16 Julai, Bersatu pula membuat kenyataan melalui Majlis Tertingginya pada 15 Julai akan menggunakan logo sendiri dalam PRN Negeri Sembilan,” katanya pada ceramah di Dun Kota Lama malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung PAS, Dr Balasubramaian; Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi; Naib YDP, Shaari Mat Yaman; Penyelia Dun Kota Lama Ir Nor Shakiman Muhammad dan Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng.   

Media sebelum ini melaporkan ROS menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Menurut Takiyuddin beliau disoal siasat pegawai penyiasat selama empat jam di pejabat ROS di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas berkaitan laporan dibuat Bersatu. 

Kata beliau juga pada mesyuarat PN 16 Julai PAS mengetengahkan isu berkaitan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) untuk mengadakan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerjasama politik dengan BN begitu penting memandangkan Negeri Sembilan diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) ketika itu. 

“Walaupun Umno berada dalam kerajaan bersama PH di peringkat pusat, kita tahu hubungan mereka cukup kritikal dan berada dalam keadaan yang tidak begitu baik. 

“Keadaan itu menyebabkan Umno berasa tidak selesa. Di Negeri Sembilan mereka mahu bekerjasama dengan kita dan kita juga mahu bekerjasama dengan Umno. 

"Sebagai gabungan politik, kita berbincang mengenai untung rugi apabila kita bergabung dengan mana-mana pihak,” ujarnya. 

Takiyuddin yang juga Yang Dipertua PAS Kota Bharu berkata, pada penggal lepas di Negeri Sembilan BN mempunyai 14 kerusi dan PH 11 kerusi, manakala PN lima kerusi. 

Kata beliau lima kerusi PN iaitu Bersatu mempunyai dua kerusi dan PAS tiga kerusi. 

"Kita hanya mempunyai lima kerusi, jika kita bertanding seorang diri, kita mungkin kalah di kesemua lima kerusi atau sebahagian daripadanya. 

"Keadaan ini menyebabkan kita melihat selari dengan kefahaman dari sudut agama, lebih baik kita bekerjasama atau disebut taawun. Kita bekerjasama untuk sesuatu perkara yang baik,” katanya. 

Menurutnya hasil perbincangan PN dengan BN telah dipersetujui BN bertanding 25 kerusi, manakala PN pula diberi peluang meletak calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). 

“Kita juga mempunyai calon daripada DHPP, Gerakan dan MIPP daripada kalangan kaum bukan Melayu. Calon DHPP daripada masyarakat India.

“Empat kerusi tersebut sebelum ini dipegang oleh DAP. Walaupun kita tidak menang kerusi tersebut empat calon PN berjaya mengekalkan wang pertaruhan,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments