RUU Kesalahan Syariah tidak langgar perlembagaan

 

Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Beberapa seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2024 tidak digubal semula kerana menghormati bidang kuasa di bawah perlembagaan.

Seksyen tersebut iaitu Seksyen 31 berkaitan gangguan seksual, Seksyen 36 (apa-apa yang mengkhayalkan), Seksyen 39 (mengurangkan skala ukuran dan berat) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal).

Seksyen terbabit digugurkan kerana sudah ada dalam kerangka perlembagaan termasuk Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840). Akta 840 dilulus di Parlimen pada tahun 2022.

Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud berkata, seksyen tersebut tidak digubal semula dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah 2026 kerana sudah ada dalam kerangka perlembagaan.

“Kita tak gubal kerana kita tahu itu limitasi yang kita alami. Pintu tersebut sudah bertutup rapat,” katanya ketika membahas RUU Kesalahan Syariah di Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Menurutnya juga perkara yang digubal semula tidak melibatkan semua 16 seksyen yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada 2024.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menyebut mahu menggubal kesemua 16 seksyen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan.

“Saya ingin sebut bahawa menggubal semula 16 seksyen itu bukan ayat rasmi kerajaan negeri. Sebab itu jawatankuasa yang dibentuk sejak 9 Mac 2024 namanya Jawatankuasa Mengkaji dan Menggubal Semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah termasuk melibatkan peruntukan yang dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi sebelah pagi Ketua Pembangkang Dun Kelantan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) meminta kerajaan negeri menjelaskan berapa seksyen yang digubal semula kerajaan negeri selepas 16 peruntukan dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Wan Rohimi yang juga peguam berkata, RUU Kesalahan Syariah 2026 mengenakan hukuman yang lebih berat dengan mengutamakan hukuman sebat bagi kesalahan-kesalahan berat.

Kesalahan tersebut termasuk keluar Islam, mengabaikan akidah anak atau kanak-kanak di bawah jagaan, kewajipan menjaga alat kemaluan, menjaga anggota badan selain daripada alat kemaluan, meminum minuman yang memabukkan, berjudi, persetubuhan luar nikah dan hamil luar nikah.

Beliau juga menjelaskan sifat setiap undang-undang yang digubal tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.

“Pada masa akan datang, satu demi satu simpulan Islam akan dirombak. Pertama yang dirungkai pelaksanaan hukum Islam dan kedua solat.

“Dan paling menggegarkan umat Islam di seluruh negara, keputusan majoriti 8-1 Hakim Mahkamah Persekutuan kes Nik Elin bersama anaknya Tunku Puteri Yasmin Natasha, melawan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Mahkamah membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 pada 9 Februari 2024. Penghakiman majoriti mantan Ketua Hakim Negara bersama tujuh lagi panel hakim menjadi titik akhir sebelum batu nisan diletakkan kepada undang-undang syariah,” ujarnya.

Sedangkan kata beliau 16 kesalahan KJS selama ini dikuatkuasakan tanpa sebarang masalah, kini telah ‘dikafankan’ dan menanti untuk dibatu nisankan.

Ekoran itu menurutnya di seluruh pelusuk negara, penguatkuasa syariah tidak lagi berani menguatkuasakan peruntukan-peruntukan sama seperti 16 peruntukan KJS Kelantan yang dibatalkan.

“Itulah domino efek pembatalan 16 peruntukan dalam kes Nik Elin. Maka sendi-sendi agama dipatahkan melalui keputusan-keputusan yang disebutkan.

“Namun Kelantan tidak pernah tidur lena. Kelantan bingkas semula dari segala luka parah dengan mengerah apparatus kerajaan, menghimpun segala kepakaran bagi menggubal semula permata syariah,” katanya.

 

 

 

 

Post a Comment

0 Comments