KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu di bawah terma embargo sebelum didedahkan kepada umum.
Namun, laporan tersebut didedahkan lebih awal kepada umum ketika berlangsung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, prosedur pembentangan laporan begitu ganjil kerana sudah didedah kepada umum.
“Langkah terbalik ini jelas menunjukkan perbahasan di Dewan Rakyat tidak lagi mempunyai perbezaan ketara berbanding perbahasan di luar Parlimen, melainkan jika Perdana Menteri hadir.
“Perdana Menteri perlu mempertahankan laporan tersebut di hadapan wakil-wakil rakyat,” katanya pada kenyataan.
Sidang khas Parlimen hari ini hanya melibatkan sesi penerangan menteri berhubung isu RCI Tabung Haji. Ia berlangsung tanpa sebarang usul, ketetapan atau proses pengundian.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, apa yang berlaku itu amat mengecewakan.
“Pihak pembangkang menegaskan institusi parlimen tidak boleh dijadikan sekadar tempat ‘penerangan sehala’ tanpa ruang perbahasan dan penentuan dasar yang bermakna demi kepentingan pencarum Tabung Haji dan integriti kewangan negara.
“Lebih menyedihkan, Perdana Menteri yang meminta diadakan Mesyuarat Khas gagal hadir bagi menjawab persoalan penting dan mewujudkan proses akauntabiliti yang telus,” ujarnya.
Kata beliau kegagalan tersebut menyebabkan ahli parlimen pembangkang, yang bersedia untuk membahaskan isu tersebut memohon sidang berkenaan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri sendiri dapat hadir.



0 Comments