Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU:
Hampir setiap minggu wakil-wakil rakyat di Kelantan mengadakan program turun
padang bagi melawat penduduk yang terlantar sakit dan bertanya khabar.
Turut serta pada lawatan tersebut Skuad Kito Cakno (SKC) yang dianggotai penghulu dan petugas Pusat Khidmat Dun.
Amalan rutin itu juga dilaksanakan Adun Panchor, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah dengan menziarahi penduduk dari rumah ke rumah yang dilaksanakan sejak dahulu sehingga sekarang.
Katanya, jadual lawatan rasmi ditetapkan sekurang-kurangnya sekali minggu, di mana ia bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
“Ada kalanya kita adakan pada hari Selasa atau Khamis, bergantung kepada keadaan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan bertemu masyarakat bersama Skuad Kito Cakno Dun Panchor semalam.
Pada program ziarah itu mereka mengunjungi penduduk di Mukim Kota Jembal, Mukim Pulau Belanga, Mukim Senang dan Mukim Telok.
Menurutnya kebiasaannya lawatan bermula sebelah pagi sehingga sebelum Zohor.
Mohd Amar juga berkata, jumlah rumah yang dikunjungi bergantung kepada tempoh masa dan keperluan penduduk di kawasan berkenaan.
“Biasanya kita akan pergi antara 10 hingga 15 rumah. Dalam keadaan tertentu boleh mencapai 13 hingga 15 rumah. Bagaimanapun minimum sekitar 10 rumah sehari,” katanya.
Kata beliau juga pendekatan turun padang bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat dan mengenal pasti masalah dihadapi rakyat.
Menurutnya pada kunjungan tersebut beliau dapat mendengar masalah dihadapi penduduk dan dapat memahami keadaan sebenar mereka.
“Ini penting supaya masalah yang dihadapi rakyat dapat kita kenal pasti dan diambil tindakan mengikut bidang kuasa serta kemampuan yang ada,” katanya.




0 Comments