
PASIR MAS: Kampung
Meranti terletak di bawah Daerah Kubang Gadong, Pasir Mas mula dibuka oleh
penduduk pada tahun 1850.
Menurut catatan, sebelum dijadikan penempatan lokasi itu merupakan kawasan hutan yang dipenuhi pokok-pokok besar.
Bagaimanapun hutan tersebut terbakar ketika musim kemarau dan hanya sebatang pokok yang terselamat iaitu pokok Meranti. Dari situlah kampung terbabit dikenali sebagai Kampung Meranti.
Penempatan itu dipagari pohon-pohon buluh dan mempunyai pintu laluan masuk yang dikenali penduduk sebagai Kota Meranti. Lokasi tersebut terletak lebih sembilan kilometer dari bandar Pasir Mas.
Dan selepas 176 tahun berlalu, warisan sejarah tersebut dijulang semula kerajaan negeri dengan mewujudkan Kota Meranti yang akan mengandungi sebuah pasar baharu dan pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan rakyat.
Dan semalam diadakan majlis pecah tanah pembangunan Kota Meranti yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Berucap pada program itu katanya, inisiatif membangunkan Kota Meranti sebagai usaha bagi mengangkat kembali nilai sejarah lokasi terbabit yang menjadi pusat kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
Katanya, warisan tersebut diberi nafas baharu menerusi peluncuran Pasar Kota Meranti yang akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melibatkan kos RM9.5 juta.
“Apabila siap kelak, medan usahawan bakal menyediakan 34 lot kedai untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Selain itu disediakan dataran sebagai tempat aktiviti pasar pagi dan pasar malam,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato' Sr. Zamri Ismail, ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dan wakil-wakil rakyat.
Medan Usahawan Kota Meranti akan merangkumi 34 unit ruang perniagaan yang terdiri daripada enam unit zon kering, enam unit zon separa kering, 12 unit zon basah serta 10 unit bagi kategori lain-lain, serta sebuah pejabat.
Projek berkenaan turut menyediakan dataran seluas 377 meter persegi yang mengandungi 100 petak pasar pagi atau pasar malam.
Selain itu akan dilengkapi kawasan hijau, rumah sampah, kemudahan utiliti serta tempat letak kenderaan merangkumi 186 petak kereta dan 39 petak motosikal.
Menteri Besar juga berkata, projek pembangunan tersebut sebahagian usaha menghubungkan warisan silam dengan aspirasi masa hadapan.
“Bukan sekadar membangunkan prasarana, tetapi menghidupkan kembali nilai sebuah kawasan bersejarah sebagai pusat kegiatan ekonomi, tempat masyarakat berinteraksi dan ruang untuk rakyat mencari rezeki.
“Semoga Kota Meranti kembali berseri, menjadi titik pertumbuhan ekonomi baharu yang membawa kemakmuran dan keberkatan buat rakyat,” katanya yang juga Adun Meranti.



0 Comments