
KUALA LUMPUR: Pertubuhan
Gabungan Ummah Malaysia (UMMAH) menegaskan menyokong perjuangan Islam akan
mendapat ganjaran syurga bertepatan dengan nas al Quran dan Sunnah.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, perjuangan menegakkan syariat Islam, memartabatkan al-Quran dan Sunnah serta mempertahankan kepentingan umat Islam merupakan tuntutan agama.
Katanya, ia selaras dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud, "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar".
“Namun UMMAH mengingatkan ganjaran syurga adalah hak mutlak Allah SWT. Tiada mana-mana individu, parti politik mahupun pertubuhan yang boleh menjamin syurga kepada mana-mana penyokong.
“Syurga dan neraka adalah urusan Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui niat dalam hati setiap hamba-Nya,” katanya pada kenyataan.
Pada program ceramah perdana sempena Muktamar PAS Jumaat lepas sebuah portal berita melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Dato' Seri Takiyuddin Hassan, orang berjuang mempertahankan Islam dan mati syahid akan dibalas syurga.
Mohd Zai berkata, kenyataan itu adalah adalah benar dan tiada salahnya.
“Ini adalah satu kenyataan yang jelas dan jangan dimanipulasikan. Oleh itu komen atau ulasan mengenai isu tersebut jangan disalah tafsir sebagai ‘menungang agama’ demi kepentingan pihak tertentu.
“Fokus penyatuan ummah dan bukan memperbesarkan titik perpecahan. Perjuangan Islam milik semua, bukan eksklusif mana-mana pihak yang tertentu sahaja,” katanya.
Oleh itu UMMAH mengajak umat Islam terus menyokong mana-mana usaha yang memperjuangkan Islam tanpa mengira parti, pertubuhan mahu pun individu.
Menurutnya sokongan tersebut hendaklah berdasar ilmu, kefahaman dan keikhlasan kerana Allah SWT, bukan kerana kepentingan tertentu.
“UMMAH berharap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mempolemikkan ucapan Dato’ Seri Takiyuddin bagi mengelirukan umat Islam atas kepentingan politik pihak tertentu,” ujarnya.
Kata beliau pemimpin Islam harus berhemah dalam dalam memberi pandangan, menjaga adab dakwah dan tidak menjadikan agama sebagai asbab untuk mencari pertelingkahan.


0 Comments