Muktamar PAS lulus usul penyatuan ummah

 
KOTA BHARU: Muktamar PAS kali ini mengangkat isu perpaduan ummah sebagai usul penting yang menjadi menentu hala tuju parti itu dalam menyusuri arus politik nasional.

Usul tersebut yang dibawa Dewan Ulama PAS Pusat pada hari kedua Muktamar PAS Pusat kali ke-72 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) diterima sebulat suara.

Ketika membentang usul tersebut wakil Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Zulqarnian Hassan berkata, Islam mewajibkan umatnya bersatu dan dilarang berpecah.

Katanya, pejuang-pejuang Islam tidak semangat meneruskan perjuangan kerana berlaku perpecahan dalam kalangan ummah.

“Jadi wajib kita bersatu menghadapi situasi semasa. Kesatuan ummah asas penting bagi mencapai kestabilan politik, keamanan negara, mengelakkan melemahkan umat dan menentukan hala tuju perjuangan.

“Penyatuan ummah hendaklah berasaskan Islam bagi mempertahankan Islam, Raja-raja Melayu, hak orang Melayu dan bahasa Melayu,” katanya ketika membentang usul tersebut.

Beliau juga mencadangkan supaya PAS memperluaskan program dialog dengan pelbagai pihak termasuk golongan profesional dan rentas parti politik serta pelbagai pihak.

Selain itu menetapkan strategik nasional, menyediakan piagam penyatuan ummah, memperkukuh kerjasama politik Melayu-Islam bagi mengurangkan perpecahan Melayu Islam.

Usul tersebut kemudian disokong oleh wakil PAS kawasan Indera Mahkota, Ustaz Nasharuddin Hassan dengan menegaskan penyatuan ummah yang diusahakan PAS bukan mengorbankan prinsip perjuangan parti itu.

Menurutnya perpecahan melemahkan kekuatan ummah mesti digantikan budaya politik menghukum kepada budaya politik mendidik.

“Kita sudah beberapa kali berusaha untuk menyatukan ummah namun tidak menjadi kenyataan, jadi kita perlu bersungguh-sungguh kali ini bagi merealisasikan agenda itu.

“Jadikan media sosial sebagai medan perpaduan dan bukan mencetus perpecahan dalam masyarakat. PAS mesti tampil dengan agenda penyatuan ummah dan mendekati semua golongan serta pihak yang pernah berbeza pandangan dengan kita sebelum ini,” katanya.  

Oleh itu beliau menyokong 200 peratus agenda penyatuan ummah yang dibentang Dewan Ulamak PAS Pusat. Selepas itu ketika diminta sokongan oleh Timbalan Pengerusi Tetap Ustaz Kamal Ashaari, perwakilan menerima sebulat suara.

 

Post a Comment

0 Comments