Sambutan Hari Kebangsaan di Kelantan bermula solat hajat

 

Oleh Asri Hazim |

KOTA BHARU: Sambutan Hari Kebangsaan di Kelantan berbeza apabila didahului dengan program solat hajat, doa selamat dan Malam Munajat Merdeka.

Program itu bermula jam 7 malam, diikuti Simfoni Pergendangan serta nyanyian lagu-lagu patriotik. Selepas itu acara perbarisan dan sambutan ambang merdeka.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kesemua pengisian tersebut untuk rakyat menzahirkan kesyukuran dan menyemarakkan semangat patriotisme bagi menghayati erti kemerdekaan.

Katanya, kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini merupakan nikmat besar daripada Allah SWT yang perlu disyukuri, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, semangat kemerdekaan hendaklah diterjemahkan melalui kecintaan kepada negara, penghargaan terhadap keamanan serta kesetiaan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

“Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk kita mengenang kembali sejarah perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam semalam.

Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharuddean Tengku Feissal, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.   

Sebanyak 69 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan mengambil bahagian dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan.

“Penyertaan 69 kontinjen dalam acara perbarisan amat bermakna kerana angka tersebut menjadi simbolik kepada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69,” katanya.

Dr Fadzli juga berkata, semangat kemerdekaan perlu sentiasa diterjemah melalui kecintaan kepada negara, penghargaan terhadap keamanan serta kesetiaan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Kemuncak sambutan berakhir dengan laungan merdeka sebanyak tujuh kali diketuai Menteri Besar.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Jajahan Machang, naib johan Gua Musang dan ketiga Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

Dentuman bunga api warna-warni selama lima minit 30 saat merupakan acara kemuncak.

Manakala di Lembah Sireh ribuan lagi rakyat Kelantan menyaksi keunikan lori berwarna-warni yang dihias cantik.

Post a Comment

0 Comments