KOTA BHARU: Agama menuntut setiap warga bukan sahaja mencintai negara dengan kata-kata, sebaliknya mempertahankan kedaulatannya, memelihara keamanan dan memakmurkannya berpandukan petunjuk Allah SWT.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, apabila tanah air diancam, syariat mengangkat seruan jihad sebagai tanggungjawab mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Kata beliau agama dan negara adalah saudara kembar yang tidak boleh dipisahkan sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali.
"Atas semangat hubbul watan inilah, sejarah tanah air kita terpahat dengan
rantaian perjuangan para pejuang kemerdekaan yang bangkit mempertahankan bumi
tercinta dengan segenap kudrat, keberanian dan pengorbanan.
“Mereka tidak pernah tunduk kepada penjajahan, bahkan terus berjuang sehingga laungan kemerdekaan bergema pada 31 Ogos 1957,” katanya pada sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di Stadium Sultan Muhammad malam semalam.
Kata beliau semangat cinta kepada negara perlu diterjemahkan melalui tindakan.
“Inilah yang dimaksudkan dengan hubbul watan, cinta kepada tanah air yang berakar daripada fitrah dan ianya selari dengan kehendak Islam.
“Jangan sekali-kali kita mensia-siakan warisan perjuangan yang begitu mahal harganya. Setiap titis keringat, air mata dan darah yang dicurahkan para pejuang terdahulu wajib kita hayati,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kemerdekaan memberi kuasa untuk anak watan menentukan haluan negara, membina masa depan dan mengangkat martabat tanah air dengan acuan sendiri.
Menurutnya merdeka bermaksud bebas dari cengkaman penjajahan dan mampu berdiri sendiri menentukan haluan negara bukan lagi mengikut kehendak atau telunjuk kuasa asing.
Kata beliau kemerdekaan yang dicapai memberi peluang kepada rakyat untuk membangunkan negara agar selari dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah.
“Negara Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW menjadi contoh abadi dan asas yang kukuh untuk membangunkan negara Malaysia yang kita kasihi ini.
Menteri Besar juga berkata, tema Sambutan Hari Kebangsaan 2026 “Malaysia Madani, Kesejahteraan Dinikmati: Penghayatan Membangun Bersama Islam”, mencerminkan hasrat membina sebuah negara yang maju, makmur dan sejahtera berteraskan nilai-nilai Islam.
Katanya, pembangunan yang ingin dicapai tidak boleh sama sekali menyisihkan kepentingan Islam dalam setiap matlamat dan wawasan.




0 Comments