Pembangkang bimbang kes kematian di lokap berulang

 

KUALA LUMPUR: Kes kematian dalam lokap polis kini berulang semula apabila seorang lelaki Noorizwan Zulkefly, 42 dilapor meninggal dunia pada 1 Oktober lepas setelah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Ekoran itu keluarga lelaki terbabit dilapor memberikan pihak berkuasa tempoh 24 jam untuk menjelaskan punca kematian tersebut.

Adik mangsa, Nooranis Zulkefly memberitahu media abangnya meninggal dunia pada jam 1.52 pagi 1 Oktober, namun beliau hanya mengetahui perkara itu pada jam 8 malam hari sama.

Manakala pada 20 November 2019 media melaporkan Mohd Fadzrin, 29, ditahan berkaitan dadah dan direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sebelum ditemui tergantung dalam selnya pagi keesokan harinya.

Dalam kes lain pula Thinagaran, 31, ditemui meninggal dunia selepas dipercayai menggantung diri dari siling sel menggunakan sehelai seluar ketika ditahan di lokap APMM di Klang pada 2019.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Whip Pembangkang Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasar laporan pakar patologi forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz mengesahkan terdapat 21 kecederaan mengerikan di badan Noorizwan.

Selain itu simati mengalami pendarahan otak dan usus serta kecederaan parah dari kepala hingga ke kaki.

Katanya, berita insiden kematian luar biasa tahanan lokap polis buat kesekian kalinya semakin menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai tahap profesionalisme, kewajaran penggunaan kekerasan serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat tidak seharusnya dilihat sebagai keterlaluan, sebaliknya diterima sebagai manifestasi keprihatinan awam berkait integriti dan tahap profesionalisme anggota keselamatan.

“Ia juga berkait rapat dengan hak asasi individu yang dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang untuk tidak diperlakukan secara sewenang-wenang di luar proses pengadilan,” katanya pada kenyataan petang semalam.  

Oleh itu kata beliau ahli-ahli parlimen pembangkang menggesa Kementerian Dalam Negeri dan PDRM memberi jaminan yang meyakinkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dengan segera.

Selain itu memastikan hasil siasatan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh yang munasabah.

Menurutnya aspek akauntabiliti dan ketelusan bukan sesuatu yang melemahkan pasukan keselamatan, sebaliknya merupakan elemen penting dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan mutu perkhidmatan. 

“Tindakan tegas terhadap sebarang salah laku akan membantu memastikan imej dan reputasi pasukan polis kekal terpelihara, selain terus dihormati dan diyakini rakyat.

“Sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang seperti insiden tersebut perlu ditangani secara tegas, segera dan berhemah,” ujarnya.  

Bagaimanapun Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, polis memainkan peranan amat penting memastikan keselamatan dan ketenteraman awam. 

 

 

Post a Comment

0 Comments