KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan penasihat yang jujur dan berani bagi menegur pemimpin dan bukannya sekadar menjadi mengampu.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, seseorang Perdana Menteri (PM) memerlukan nasihat yang baik dan penasihat jangan memberi nasihat yang hanya bertujuan mengampu.
“Nabi SAW menyebut dalam Hadis bahawa apabila Allah SWT menghendaki seseorang pemimpin itu menjadi baik, maka Allah akan menyediakan penasihat dan menteri yang baik di sisinya.
“Apabila pemimpin itu lupa, mereka akan mengingatkannya. Apabila pemimpin itu ingat, mereka akan membantunya,” katanya ketika membahas Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Sebaliknya kata beliau apabila seseorang pemimpin ditimpa keburukan, di sisinya terdapat penasihat yang buruk.
“Apabila pemimpin itu lupa, mereka tidak mengingatkannya. Apabila pemimpin itu ingat dan mahu melaksanakan sesuatu perkara, mereka pula tidak memberikan pertolongan. Hal ini berlaku kerana masing-masing menjaga kepentingan diri sendiri,” ujarnya.
Menurutnya pada akhir zaman terdapat ramai ulama, namun ulama yang benar-benar berilmu, memahami sesuatu perkara dan mampu menganalisis ilmu dengan sebaik-baiknya tidak ramai.
Oleh itu beliau menasihatkan pemimpin perlu sentiasa berwaspada.
“Pernah seorang utusan Islam bertemu dengan pemimpin Parsi, sebuah kuasa besar dunia ketika itu. Rabi‘ bin Amir menegaskan tujuan kedatangan mereka ketika berhadapan dengan kerajaan Parsi.
“Dia datang untuk memperkenalkan satu dasar, iaitu memperhambakan diri kepada Allah, bukannya memperhambakan diri kepada sesama manusia,” katanya yang juga Presiden PAS.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, hal itu menunjukkan konsep sebuah negara berperlembagaan, di mana pemimpin negara tertakluk kepada perlembagaan, manakala kedudukan yang tertinggi ialah Allah SWT.
“Kedua, Islam berbeza daripada ideologi dan agama lain kerana kesempurnaannya merangkumi segala aspek kehidupan. Islam bukan sahaja meliputi aspek keduniaan, malah turut merangkumi wawasan kehidupan di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Kata beliau juga segala urusan pemerintahan perlu dilaksanakan dengan menghormati prinsip yang menjadi asas kepada masyarakat.


0 Ulasan