Ticker

6/recent/ticker-posts

Ikhlas Sokong PAS Kerana UMNO Jauh Tersasar


KETEREH - Afiq Amani Annuar, anak bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Annuar Musa yang bertindak keluar parti berkuat kuasa serta-merta semalam atas kerelaan hati sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk bapanya.

Dia memberitahu, dasar perjuangan UMNO sekarang sudah tidak selari dengan perjuangan asal.

“Selepas beberapa bulan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Ketereh, saya nampak wadah parti itu banyak lari daripada perjuangan sebenar,” katanya ditemui selepas perisytiharan keluar parti beramai-ramai di Bukit Marak, semalam.

Katanya, perkara itu jelas, selepas UMNO mengambil keputusan untuk bersama di dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mengenepikan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC serta MCA.

Hadir sama pada majlis perisytiharan itu bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud.



Difahamkan, kesemua Ahli Jawatankuasa (AJK) Cawangan UMNO Chabang Tiga Haji Musa bertindak melepaskan jawatan dan keluar parti secara beramai-ramai sekali gus membubarkan  kepimpinan di cawangan berkenaan.

Annuar berkata, kesemua mereka yang keluar parti itu telah menyatakan sokongan kepada PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

“Kita harap ini satu gambaran solidariti rakyat untuk memberi undi kepada PAS pada PRN nanti,” katanya.

Sementara itu, pada sesi Ceramah Umum Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Melor, malam tadi Annuar memberitahu supaya anaknya itu berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan meninggalkan UMNO.


“Ambo (saya) ada anak empat orang iaitu tiga perempuan dan seorang sahaja lelaki. Hanya dia seorang sahaja anak lelaki dan dia juga anak bongsu.

“Dia seorang sahaja yang boleh ganti ambo. Saya kata duduk dan fikirlah sebab papa dah buat keputusan nekad untuk masuk PAS,” katanya.

Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) memberitahu, tujuan utamanya menyertai PAS adalah semata-mata demi perjuangan bukan untuk mengejar menjadi calon.

“Saya sertai PAS adalah untuk berjuang dan bukannya seperti dahulu masa UMNO mahu jadi calon. Ambo dah tinggalkan perangai lama ketika dalam UMNO,” katanya.

Post a Comment

0 Comments