Ticker

6/recent/ticker-posts

Bekas menteri cadang Speaker diganti

 BEKAS Menteri Undang-Undang tanpa berselindung mendesak Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul diganti individu lain. Kata Zaid Ibrahim ganti dengan individu yang tidak berat sebelah dan bersikap adil.




Menurutnya fungsi parlimen hanya boleh berlaku apabila mempunyai penjawat awam yang jujur menjalankan tanggungjawab. Zaid melontar pandangan itu di aplikasi X, Ahad lepas.

Hujahnya sealiran dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan. Kata Tok Mat menerusi pilihan raya semula, kuasa pemilihan diberi kepada rakyat bagi mengekang tindakan lompat parti.

Menurutnya lagi jika ada ahli parlimen yang jelas tidak sehaluan dengan parti atau tidak bersama dengan parti, maka pengundi boleh membuat referendum.

Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani pula mahu wakil rakyat yang melompat parti wajar dinoktahkan agar kestabilan politik terjamin.

Malah, seorang peguam Ab Jalil Backer menyifatkan keputusan Speaker mengekalkan enam ahli parlimen berpaling tadah telah membuka jerangkap samar kepada Perdana Menteri.

Kata beliau hujah Johari Abdul menolak permohonan Bersatu bagi mengosongkan enam kerusi ahli parlimen berpaling tadah atas alasan bertentangan dengan hak dan kebebasan ahli parlimen sebagai keputusan bersejarah.  

Hujah serupa juga dilontar mantan Speaker Dewan Rakyat Azizan Harun. Menurutnya Perkara 49A (1)(a)(ii) menjelaskan ahli parlimen hilang kelayakan apabila keluar parti atau keahlian mereka gugur.

Senario yang berlaku itu semakin jelas dengan andaian peguam Haniff Khatri. Hujahnya sebarang keputusan dibuat mana-mana Speaker didorong oleh kedudukan politik mereka.   

Peguam Yusfarizal Yussoff turut menyifatkan Speaker Dewan Rakyat bertindak melangkaui kuasanya. Dan ia bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa. 

Siapa sebenarnya Johari Abdul. Beliau ialah bekas ahli parlimen PKR Sungai Petani dan pemimpin PKR. Sesiapa yang mengikuti siaran langsung sidang parlimen boleh mengenali gelagat Speaker era kerajaan Madani.

Jerangkap

Ia seolah-olah membenarkan hujan peguam Ab Jalil. Jerangkap samar sedang menanti kerajaan PH-Umno. 

Belum pun reda isu Speaker membela nasib enam bekas ahli parlimen Bersatu yang ‘belot’, tiba-tiba hari ini ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal digantung selama enam bulan. 

Wan Fayhsal digantung ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan membangkitkan surat layang ketika perbahasan. Surat layang itu berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam isu Blackrock.

Isunya berpangkal langkah kerajaan Madani mahu menswastakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usaha mendera pembangkang tidak terhenti di situ. Sebelum itu kerajaan mengusulkan untuk merujuk Wan Saiful Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Kisahnya berpunca dakwaan Wan Saiful ditawarkan habuan akan digugurkan kes mahkamah apabila menyokong Anwar Ibrahim.

Pendedahan ahli parlimen Bersatu itu mengejutkan apabila wujud dakwaan ejen kerajaan mahu memikat pembangkang.

Bagi pemerhati politik tanah air pendedahan Wan Saiful bukan perkara pelik. Ia rentetan enam ahli parlimen Bersatu dipancing menyokong Perdana Menteri. 

Maka tindakan ahli parlimen pembangkang ‘menyambut’ keputusan Speaker menggantung Wan Fayhsal dengan membaca Qunut Nazilah menggambarkan Madani semakin hilang tamadun.

Sekat Tiktok

Tekanan terhadap pembakang tidak sekadar berlingkar di parlimen sahaja. Malah video dimuat naik dalam akaun TikTok milik Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri didapati diturunkan.

Tindakan pihak yang ada kuasa memadamkan suara pembangkang dalam talian menggambarkan kegelisahan jiwa Madani sekarang.

PAS Selangor mendakwa 20 klip video dipadam tanpa notis biar pun tidak melanggar garis panduan media sosial atau sentimen raja, agama dan kaum (3R).

Situasi yang berlaku itu mengulangi tragedy menimpa Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor. 

Pada 16 Julai 2023 Sanusi mendakwa akaun TikToknya disekat. Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai usaha menghalang kemaraan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos 2023.

"Depa padam TikTok saya. Tak sat (tadi) kita buka, tak dak pi dah (sudah tiada). Kita baru dok (sedang) popular, medan kita nak jawab (isu) habislah.

"TikTok (saya) tak dak dah lah malam ni (sebab) kena padam, (ada) 5.2 juta 'like' habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain, kena cari seorang demi seorang, lambat,” ujarnya. 

Nasib serupa juga menimpa bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.  Beliau mendapati petikan video mengkritik penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad kepada BlackRock dipadam TikTok. 

Malah menurut laporan media pasca Pilihan Raya Umum ke-15 pada 20 November hingga 26 November, sebanyak 1,126 video disekat secara automatik. Ia juga diakui menteri. 

Berdasar perkembangan itu ada pihak mengandaikan hayat kerajaan Madani semakin semput. Dada pemimpin kerajaan PH-Umno semakin kencang berombak.

Post a Comment

0 Comments