Ticker

6/recent/ticker-posts

Langkah Speaker buka ruang MP tarik sokongan terhadap PM

KOTA BHARU: Keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu yang menyokong Perdana Menteri (PM) dianggap mencalar demokrasi berparlimen di negara ini.

Pensyarah sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan Tan Sri Johari Abdul memperlihatkan laungan reformasi ketika berada di saf pembangkang hanya sekadar slogan.

Kata beliau dalam bahasa mudah ia menggambarkan sikap ‘hipokrasi’ pemimpin Pakatan Harapan selepas mendapat kuasa politik. 

“Tafsiran Speaker di mana Ahli-ahli Parlimen (MP) bebas menyatakan sokongan menggambarkan keputusan itu bertentangan dengan semangat Akta Anti Lompat Parti.

“Berdasar hujah Speaker ia menggambarkan sesebuah parti politik tidak boleh menentukan tindakan terhadap status wakil rakyatnya sendiri apabila berlaku perlanggaran disiplin,” katanya di sini. 

Baru-baru ini Johari dilapor berkata, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mengosongkan kerusi.

Menurutnya perkara penting yang perlu lakukan Ahli Parlimen berkenaan dengan menyatakan secara bertulis bahawa mereka masih kekal ahli parti terbabit.

Sedangkan Bersatu pada kenyataan sebelum ini menyatakan keahlian enam ahli parlimen terbabit gugur secara automatik selepas tidak menjawab surat menyatakan sokongan kepada parti terbabit.  

Enam Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Dr Zulkeflee juga berkata, keputusan Speaker Dewan Rakyat turut membuka ruang ahli parlimen blok kerajaan menarik sokongan kepada PM dan tidak gugur sebagai ahli parlimen. 

Baru-baru ini Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah membayangkan ada lagi wakil rakyat Umno akan menarik sokongan terhadap kerajaan Madani sebagai menjejaki langkah Adun Rembia Dato’ Mohd Jailani Khamis.

Post a Comment

0 Comments