Ticker

6/recent/ticker-posts

KUASA BELI RAKYAT TARIK PELABUR KE KELANTAN

Oleh: Asri Hamat 

KOTA BHARU, 15 Ogos- Kekuatan kuasa beli rakyat Kelantan menjadi faktor syarikat-syarikat untuk melabur di bumi Kelantan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Dato' Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman berkata, pembukaan rangkaian baharu kedai CU Mart menjadi bukti keyakinan syarikat tersebut terhadap kuasa beli rakyat tempatan ditambah pula dengan persekitaran sosial yang harmoni dan keadaan politik yang stabil di negeri ini.

Jelas beliau lagi, syarikat CU Mart ini menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap industri halal dan mengiktiraf produk tempatan yang berkualiti.

"Apa yang menarik tentang CU Mart ini adalah keyakinannya terhadap industri halal dan pengiktirafannya kepada produk tempatan yang memenuhi piawaian.

"Dengan kerjasama strategik antara CU Mart dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), produk tempatan daripada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang memenuhi piawaian telah diangkat dan duduk sebaris dengan produk tersohor yang lain".

Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar berucap merasmikan pembukaan rangkaian baharu kedai CU Mart di UTC, Kota Bharu pada Rabu.

Tambah beliau lagi, dengan pengiktirafan terhadap produk tempatan tersebut akan membuka pasaran yang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk memasarkan da memajukan lagi produk mereka. 

Syarikat tersebut juga tidak ketinggalan untuk menunaikan tanggungjawab sosialnya apabila menaja seramai 100 pelajar B40 untuk meringankan beban duit poket mereka. 

"Seiring dengan dasar berkebajikan dan Penghayatan Membangun Bersama Islam, syarikat ini menaja seramai 100 pelajar B40 dengan tajaan RM100 sebulan selama dua tahun. Diharap usaha murni ini menjadi contoh kepada syarikat-syarikat lain dalam usaha untuk membangunkan sebuah masyarakat yang harmoni dan berkebajikan", katanya. 

Hadir sama, Ketua Eksekutif PKINK Dato' Sr. Zamri Ismail dan Pengerusi Kumpulan myNEWS Holding Dang Tai Luk.




Post a Comment

0 Comments