Ticker

6/recent/ticker-posts

MAHKAMAH TOLAK INJUKSI AZIZI DENGAN KOS RM30 RIBU

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 12 Ogos - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini telah menolak dengan kos sebanyak RM30 ribu (RM10 ribu bagi setiap responden) permohonan Injuksi Ahli Parlimen Gua Musang YB  Mohd Azizi Abu Naim untuk menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 Nenggiri.

Timbalan Exco Penerangan YB Nik Bharum Nik Abdullah memaklumkan permohonan injuksi itu difailkan oleh mantan Ahli Dewan Negeri Nenggiri itu untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang PRK Nenggiri yang akan diadakan pada 13 Ogos (Undian Awal) dan 17 Ogos depan sehingga kes induk untuk membatalkan pengisytiharan kekosongan luar jangka oleh Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah, dibicarakan sepenuhnya.

Menurut YB Nik Bahrum, Hakim Ros Mawar Rozain antara lainnya memutuskan bahawa mahkamah menetapkan kos RM10 ribu bagi setiap defenden kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang Suruhan jaya Pilihan Raya (SPR) daripada menjalankan tanggungjawab perlembagaan dalam menjalankan pilihan raya kecil selepas berlakunya kekosongan luar jangka.

Beliau memetik keputusan injuksi tersebut dengan berkata atas dasar kepentingan awam, mahkamah juga tidak sewajarnya menghalang tanggungjawab perlembagaan yang sepatutnya dijalankan oleh institusi yang berkenaan (SPR).

“Speaker Kelantan hanya menjalankan tanggungjawab perlembagaannya semata-mata selepas menerima notis dari Setiausaha Agung Parti Bersatu.

“Plaintif (YB Azizi) tidak pernah dihalang daripada bertanding semula dalam PRK, namun plaintif memilih untuk tidak menyertainya. Haknya tidak pernah dihalang dalam menyertai proses demokrasi.

"PRK adalah penting atas dasar kepentingan awam untuk membolehkan rakyat memilih semula calon yang disukainya sebagai wakil rakyat bagi N.43 Nenggiri,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau bersetuju dengan sahabat peguam lain yang hadir mendengar keputusan itu dengan mendakwa permohonan Injuksi itu adalah sia-sia dan bersifat akademik.

Bahkan mereka bersependapat bahawa keengganan plaintif menyertai PRK berkemungkinan disebabkan plaintif mengetahui pengundi akan menghukumnya kerana mengkhianati amanah kemenangan yang diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri ke-15 lalu.

Post a Comment

0 Comments