Ticker

6/recent/ticker-posts

Agensi kerajaan disaran anjur solat hajat elak bencana banjir

 


KOTA BHARU: Solat hajat memohon keselamatan daripada bencana banjir diadakan di Masjid Jamek Muhammadi di sini diketuai Timbalan Mufti Kelantan, Dato’ Nik Abdul Kadir Nik Mohamad.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini meramal Kelantan bakal berhadapan dengan banjir besar  tahun ini yang dijangka bermula November sehingga Februari 2025.

Selain itu kerajaan negeri turut melakukan persiapan rapi bagi menghadapi musibah tersebut termasuk menambah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh Kelantan.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, solat hajat merupakan salah satu cara kerajaan negeri berhadapan dengan sesuatu masalah.

Malah kata beliau Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) akan mengeluarkan arahan sama agar solat hajat diadakan di setiap mukim.

“Kita minta jabatan kerajaan dan agensi-agensi buat juga di tempat masing-masing, manakala komuniti bersama wakil rakyat di tempat masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis solat hajat memohon keselamatan daripada bencana banjir di sini hari ini. 

Turut hadir anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato' Wan Roslan Wan Hamat dan pegawai kerajaan. Lebih 500 jemaah menyertai solat hajat tersebut.

Post a Comment

0 Comments