Oleh: Che Maziah Mat
PASIR PUTEH, 21 Oktober - Pesara Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Kedah sebagai pengarah, Dato’ Romai Noor Ali dan bekas guru Bahasa Inggeris, Siti Aishah Abdul Rahman masing-masing dinobatkan tokoh warga emas lelaki dan wanita sempena Sambutan Hari Warga Emas peringkat negeri Kelantan bagi tahun 2024.
“Saya
sangat teruja dan bersyukur kerana dengan usaha sejak mula menjadi pesara tahun
2005 dengan umur dan pencapaian sekarang ini telah diberi pengiktirafan sebagai
tokoh warga emas tahun ini.
“Saya suka
menjalani kerja-kerja kebajikan dan saya menganggap warga emas ini adalah
mereka yang ada nilai, kerana itu dipanggil warga emas dan jangan sekali merasa
terhina dan megah kerana dinilai sebagai warga emas,” akui Dato’ Romai Noor.
Beliau yang berusia 75 tahun, terlibat dalam pelbagai sumbangan kepada komuniti dan kerja-kerja kebajikan, antaranya sebagai pengerusi di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kota Baharu dan Naib Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia.
Manakala,
bagi anugerah tokoh warga emas wanita, Siti Aishah Abdul Rahman, 80 juga
terlibat dalam aktiviti kebajikan sebagai guru al-Quran dan guru Bahasa
inggeris di Kelantan International School dengan menggunakan kaedah pengajaran
bersemuka dan juga atas talian.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana diberi anugerah tokoh warga emas. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengadakan program seperti ini yang mempunyai banyak manfaat terutama kepada komuniti muda,
“Bagaimana kami di usia warga emas masih lagi boleh memberi sumbangan kepada masyarakat dan golongan muda perlu sentiasa memikirkan masyarakat sekeliling kita yang perlu dibantu dan perlu diberi sumbangan agar kesejahteraan semua pihak terjaga,” katanya.
Sementara itu, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dengan kerjasama Urus setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) mendapat penyertaan lebih kurang 500 peserta yang melibatkan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA), peserta PAWE, ngo warga emas seluruh Kelantan dan pelajar-pelajar sekolah. Terdahulu, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berkata, 1 Oktober dijadikan hari Sambutan Warga Emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai penghormatan kepada warga emas dan ia boleh dijadikan sebagai ketandaan untuk kita semua lebih cakna kepada warga emas dalam masyarakat kita.“Kita di Kelantan, mengambil langkah proaktif dengan membina sebuah modul, model dan sistem pembangunan serta kebajikan warga emas yang selari dengan Dasar Membangun Bersama Islam iaitu Dasar Warga Emas Mukramun pada tahun 2022.
“Warga emas
adalah golongan yang perlu dimuliakan dengan meninggikan kedudukan mereka,
menunaikan hak mereka, bermuamalah dengan cara yang terbaik serta memuliakan
mereka dengan menzahirkan penghormatan melalui perbuatan dan tindakan,” jelasnya.
0 Comments