Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN MEMBANGUN SEIRING KONSEP NEGARA HIDAYAH - MENTERI BESAR

Oleh: Zaki Mustafa

KOTA BHARU, 5 November - Menteri Besar, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan perjalanan Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir PAS sepanjang 34 tahun ini seiring dengan konsep negara hidayah yang dikemukakan ulamak terkenal dari India, iaitu Sheikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi.

“Kerajaan hidayah ialah sebuah kerajaan yang mengikut petunjuk Allah yang menjadi iman atau akidah para pemimpinnya.

“Berbeza pula dengan konsep negara jibaayah yang menjadikan hasil harta sebagai rukun yang utama dan matlamat segala amalan tanpa mengira wawasan akhirat.  Apa yang penting bagi kerajaan sebegini adalah mencari kesenangan dunia semata-mata,” beliau menjelaskan demikian semasa berucap merasmikan Sambutan 34 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam (MBI) di sini hari ini. 

Tambah Ustaz Nassuruddin, segala program dan inisiatif kerajaan yang membawa keredhaan Allah menjadi keutamaan berbanding mengejar populariti rakyat dengan mendapat kemurkaan Allah.

Justeru, dengan meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran bukanlah mudah, lebih-lebih lagi di era serangan Islamofobia dan pemikiran bebas yang semakin melanda di mana-mana.

Menteri Besar turut berkongsi beberapa kejayaan besar dengan melaksanakan Islam sebagai dasar pentadbiran dan pembangunan di Kelantan, antaranya berjaya melepaskan umat Islam dari jerat sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan agama dari politik.

Pentadbiran MBI juga berjaya membuktikan Islam mampu mentadbir dan ulamak berwibawa memimpin dengan gandingan kepakaran yang pelbagai.

Kelantan juga berjaya membuktikan Islam adil kepada semua kaum dan bangsa serta berupaya mengangkat martabat dan membela wanita termasuk golongan armalah atau ibu tunggal.

Sambutan yang diadakan setiap tahun itu bagi mengingati dan menghargai kejayaan mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan sejak 21 Oktober 1990 dimulakan dengan Ucapan Dasar oleh Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan bertajuk Pentadbiran Era Penghayatan Membangun Bersama Islam.

Menteri Besar turut menyempurnakan pelancaran logo Penghayatan Membangun Bersama Islam dan buku Standard Pengurusan dan Pentadbiran Pusat Khidmat DUN Negeri Kelantan dengan disaksikan Timbalan Menteri Besar, Setiusaha Kerajaan dan mantan Menteri Besar, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.

 

Post a Comment

0 Comments