Ticker

6/recent/ticker-posts

LUCAS, IRFAN UNGGULI DUA KATEGORI LUNCUR OMBAK KEMASIN 2024

Oleh: Norzana Razaly

BACHOK, 15 Disember - Peluncur dari Selangor Lucas Santiago Wehle dan Mohamad Irfan Naufal Kasa mencipta kejayaan cemerlang apabila masing-masing mengungguli Pertandingan Luncur Ombak Kemasin 2024 bagi dua kategori utama.

Lucas Santiago dinobatkan sebagai johan kategori Best Wipe Out dan kategori Men's Shortboard manakala Mohamad Irfan Naufal Kasa dari Pahang menyandang johan bagi kategori Best Trick dan kategori Grommet (Bawah 16).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta medal bagi dua kategori yang dimenangi.

Kemenangan berganda itu juga membuktikan kehebatan dua anak muda tersebut dalam menakluki gelombang mencabar di Pantai Kemasin.

Pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu menarik penyertaan lebih 70 peluncur dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.

Acara julung kali anjuran Kerajaan Negeri Kelantan itu turut mendapat sambutan meriah daripada peminat sukan air tempatan.

Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Zameri Mat Nawang hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang serta merasmikan acara penutup. 

Dalam ucapannya, beliau menyatakan sukan luncur ombak menguji kecekapan atlet membaca pergerakan arus laut dan membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan sukan negeri Kelantan.

"Pertandingan ini membuktikan bahawa Pantai Impian atau kini dikenali sebagai Pantai Kemasin, berpotensi besar sebagai destinasi sukan air bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang mampu menarik pelancong tempatan dan luar negara," katanya.

Beliau juga berharap acara yang bakal menjadi agenda  tahunan itu berfungsi sebagai medan untuk mencungkil bakat baharu dalam arena luncur ombak.

Sekali gus, mempromosi Kelantan sebagai destinasi sukan lasak pilihan utama di Malaysia dan antarabangsa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Kamaruzaman Mohamad turut memuji kelancaran penganjuran acara yang dikelolakan oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Persatuan Luncur Ombak Negeri Kelantan (PLOK).

Beliau menyeru agar kepakaran para peluncur ombak dapat dimanfaatkan lebih meluas, termasuk sebagai sukarelawan penyelamat semasa musim banjir.

Selain kejayaan Lucas dan Irfan, peluncur dari Pahang Saiful Faidhi turut mencuri tumpuan apabila muncul sebagai johan kategori Body Board Man.

Manakala rakan senegerinya, Muhammad Nor Afiq Haikal memenangi kategori Long Board Man.

Masing-masing meraih wang tunai RM2,000 berserta medal.

Pertandingan tersebut diakhiri dengan acara penyampaian hadiah yang dihadiri pemimpin tempatan termasuk ADN Pantai Irama YB Huzaimy Che Husin dan ADN Tawang YB Harun Ismail.



Post a Comment

0 Comments