OLEH: IBNU HANIF
BELANJAWAN 2025 Perlis yang bertema ‘Perlisku Bestari, Berkat Lestari’ memfokus pembangunan seimbang, mampan dan inklusif. Ia dibentang Menteri Besar Mohd Shukri Ramli pada sidang DUN baru-baru ini.
Belanjawan itu mencerminkan usaha gigih kerajaan negeri memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri melalui pendekatan berteraskan teknologi, pelaburan dan peningkatan taraf hidup.
Belanjawan tersebut memperuntukan sebanyak RM303.28 juta. Jumlah terbabit dianggap besar dengan saiz Perlis yang keci.
Perlis memberi penekanan kepada tiga tekad utama iaitu Anjakan Ekonomi Bestari, Perlis Berkebajikan dan Lonjakan Perubahan.
Selain itu tumpuan kepada sektor pertanian pintar, pelancongan serta inisiatif seperti Perlis Smart Agro dan Sinergi Sempadan.
Fokus utama juga terarah kepada pemerkasaan belia melalui program Anak Muda Perlis Generasi Bestari (GENBEST). Ia menyediakan latihan kemahiran digital dan inovasi sosial.
Kerajaan Perlis turut berusaha membasmi kemiskinan tegar melalui program perumahan dan pembangunan infrastruktur.
Namun, dengan defisit dijangka RM73.18 juta, cabaran besar tetap wujud dalam pengurusan kewangan negeri. Situasi tersebut berlaku sejak era pentadbiran Barisan Nasional.
Ketika itu Perlis tidak bermasalah kerana mendapat bantuan penuh kerajaan pusat.
Belanjawan SG4
Manakala belanjawan Kedah 2025 lebih besar dengan fokus inklusif.
Belanjawan negeri Jelapang Beras Negara itu berjumlah RM1.26 bilion.
Kedah mengemukakan tema ‘The Greater Kedah’ yang membawa gagasan untuk mencapai pembangunan lebih holistik melalui pendekatan ekonomi, pendidikan dan kemakmuran sosial.
Belanjawan yang dibentang Muhamad Sanusi Md Nor dijangka defisit sebanyak RM99.9 juta. Kedah juga bersedia menghadapi cabaran bagi mengekalkan kestabilan kewangan, walaupun peruntukan lebih besar untuk sektor pembangunan.
Kedah memfokus projek pembangunan infrastruktur besar termasuk jalan raya dan perumahan, yang berpotensi memberi impak langsung kepada ekonomi negeri.
Belanjawan 2025 Terengganu pula berjumlah RM1.887 bilion memberi tumpuan kepada sektor ekonomi sumber alam dan pembangunan infrastruktur.
Tema ‘Demi Masa Depan Terengganu’ menonjolkan pelaburan dalam sektor minyak dan gas, serta projek-projek besar untuk memperkukuhkan infrastruktur negeri.
Dengan defisit yang lebih kecil berbanding Kedah dan Terengganu nampaknya Menteri Besar Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar lebih fokus kepada pembangunan modal insan dan teknologi dalam meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan pelancongan.
Walaupun disediakan peruntukan lebih besar, namun cabaran utama bergantung kepada sumber alam yang terdedah kepada turun naik harga pasaran global.
Kelantan pula berusaha memperkasa ekonomi berteraskan Islam. Belanjawan Kelantan 2025 menyediakan peruntukan RM1.45 bilion, mengemukakan tema 'Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri'.
‘Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam 2023-2033 dan Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024-2028 menekankan pembangunan berteras prinsip Maqasid Syariah.
Kelantan memberi penekanan kepada pembangunan sosial dan keagamaan, terutama pembangunan modal insan melalui program pendidikan dan keusahawanan.
Belanjawan 2025 diunjur mengalami defisit sebanyak RM93.02 juta. Ini kerana peruntukan besar disalurkan kepada pembangunan infrastuktur dan kesejahteraan rakyat.
Kesimpulan
Perlis menunjukkan komitmen terhadap pembangunan ekonomi berasaskan teknologi, kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan modal insan. Negeri SG4 lain memfokuskan pembangunan infrastruktur dan peningkatan sektor sumber alam.
Kedah dan Terengganu memperlihatkan peruntukan besar untuk infrastruktur, dan Kelantan lebih menekan pembangunan sosial berlandaskan prinsip Islam.
Namun, setiap negeri berhadapan dengan cabaran defisit dalam menyeimbangkan antara perbelanjaan dan hasil negeri. Kesemua negeri dianggarkan berlaku defisit.
Namun lebihan belanjawan diraih pada akhir tahun. Contohnya Kelantan mencatat lebihan belanjawan lima tahun berturut–turut bermula 2017. Prestasi Akaun Semasa Kerajaan Negeri pada 2021 mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.17 juta atau 4.77 peratus berbanding tahun 2020. Ini menggambarkan keupayaan SG4 memacu pertumbuhan ekonomi, berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negeri koridor lain.
0 Comments