Ticker

6/recent/ticker-posts

GARIS PANDUAN PENGLIBATAN ORANG ISLAM DALAM PERAYAAN KEAGAMAAN SELAIN ISLAM PERLU DISEGERAKAN

Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM , 18 Februari- Kerajaan Negeri Kelantan menyarankan agar Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Perayaan Keagamaan Selain Islam segera dimuktamadkan demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud berkata, garis panduan tersebut adalah perlu bagi memberi panduan jelas kepada umat Islam dalam menghadiri perayaan keagamaan selain Islam.

Beliau menegaskan, garis panduan yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah bersesuaian dengan beberapa fatwa sedia ada seperti yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 12 Jun 2007, fatwa dari Majlis Agama Islam Negeri Johor, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019 dan  Mesyuarat Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bersidang kali ke-2 pada 25 Mac 1987.

"Kesemua fatwa ini telah sedia wujud dan jika dihimpunkan dengan tersusun, ia boleh dijadikan sebagai garis panduan oleh umat Islam dalam memahami tuntutan untuk menghadiri perayaan keagamaan selain Islam.

"Garis panduan ini juga boleh dijadikan sempadan oleh orang Islam dan bukan Islam untuk menyusun program-program perayaan terutama melibatkan perayaan selain Islam terhadap orang Islam".

Beliau berkata demikian menerusi satu catatan di media sosial miliknya, hari ini.

Jelasnya lagi, garis panduan tersebut akan membantu masyarakat yang berbilang kaum dan agama memahami perbezaan antara perayaan keagamaan dan perayaan bangsa.

"Dengan memahami perbezaan perayaan keagamaan dan perayaan bangsa, maka ia akan dapat mengelakkan pertikaian yang melibatkan agama. Ini akan mewujudkan suasana saling menghormati dan mengelakkan persengketaan antara agama, sekali gus meningkatkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama", ujarnya.

Untuk rekod, JAKIM melalui Menteri Hal Ehwal Islam baru-baru ini telah mengumumkan garis panduan penglibatan orang Islam dalam perayaan keagamaan bukan Islam yang akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126, namun garis panduan tersebut ditarik balik daripada dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet.

Post a Comment

0 Comments