![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 13 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk memastikan pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) diselesaikan mengikut jadual, selaras dengan keperluan rakyat dan perancangan pembangunan negeri.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan syarikat Perak Transit bagi mendapatkan kepastian mengenai pelaksanaan projek ini, sama ada diteruskan mengikut perjanjian asal atau diserahkan kembali kepada kerajaan negeri untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, projek KB Sentral adalah sebahagian daripada perancangan strategik negeri dalam memperkasa infrastruktur pengangkutan awam menjelang 2027.
Oleh itu, sebarang kelewatan perlu ditangani dengan segera bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat Kelantan secepat mungkin.
"Kerajaan negeri mahu keputusan yang jelas daripada pihak Perak Transit.
"Kita telah memberikan ruang secukupnya untuk perbincangan, namun projek ini perlu terus bergerak ke hadapan tanpa sebarang penangguhan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.
"Jika syarikat berkenaan bersedia meneruskan pembinaan tanpa sebarang syarat tambahan yang melambatkan proses, kita alu-alukan.
"Jika tidak, kerajaan negeri bersedia mengambil alih projek ini bagi memastikan KB Sentral dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama rakan media sempena Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media 2025 kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di sebuah hotel di Tunjong, semalam.
Mengulas lanjut, Dato' Mohamed Fadzli menegaskan bahawa keputusan itu bukan bertujuan menidakkan keupayaan Perak Transit, malah kerajaan negeri mengiktiraf pengalaman syarikat tersebut dalam mengendalikan projek pengangkutan.
Jelasnya, keutamaan tetap diberikan kepada kepentingan rakyat dan kepastian projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
"Fokus utama kita adalah memastikan pembinaan stesen bas KB Sentral dapat diteruskan.
"Komponen lain seperti kompleks beli-belah dan kediaman boleh disusuli kemudian.
"Yang penting, rakyat Kelantan dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih moden dan selesa secepat mungkin," katanya.
0 Comments