![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 13 Februari – Kerajaan Negeri Kelantan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya segera menyiapkan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai demi kemudahan rakyat, khususnya menjelang musim perayaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa kelewatan pembinaan lebuh raya tersebut memberi kesan besar kepada pengguna jalan raya yang sering berdepan kesesakan teruk.
"Kita mohon kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya, supaya mempercepatkan projek ini.
"Kelantan bukan sahaja menerima ramai pengunjung dari luar, tetapi rakyat negeri ini juga memerlukan kemudahan infrastruktur yang lebih baik," katanya selepas Mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim, pada Isnin.
Menurutnya, perkembangan projek lebuh raya di negeri lain, seperti di Pahang, jauh lebih pantas berbanding di Kelantan.
"Kita lihat di Pahang, pembinaan berjalan dengan baik, tetapi di Kelantan agak perlahan. Kita berharap pihak berwajib memberi perhatian serius supaya projek ini dapat disiapkan segera," tambahnya.
Mengulas mengenai laporan media sosial yang tular berkaitan kelewatan projek, beliau menjelaskan bahawa masalah utama berpunca daripada pertukaran kontraktor yang dilantik sebelum ini.
"Difahamkan, kontraktor terdahulu ditamatkan kerana gagal menyiapkan projek mengikut jadual. Insya Allah, pihak Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya akan membuka tender baharu bagi memastikan kelancaran pembinaan," jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan lebuh raya tersebut bukan sahaja untuk rakyat Kelantan tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Kelantan merupakan destinasi utama pelancongan dan lebuh raya ini akan memberi manfaat besar kepada sektor ekonomi dan pelancongan negeri," katanya.
0 Comments