Ticker

6/recent/ticker-posts

PEMBANGUNAN BANDAR SEMPADAN PACU EKONOMI RANTAU PANJANG

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan

Oleh: Norzana Razaly 

KOTA BHARU, 13 Februari - Rantau Panjang bakal melalui transformasi ekonomi yang lebih dinamik apabila kerajaan negeri dan Persekutuan bekerjasama untuk memperkasa pembangunan bandar sempadan ini sebagai hab perdagangan dan pelancongan utama.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan mewujudkan zon bebas cukai baharu di Rantau Panjang.

"Kerajaan Persekutuan telah memberi maklum balas positif, dan kita diminta menyediakan tapak baharu bagi tujuan tersebut.

"Ini adalah langkah penting untuk meningkatkan daya saing Rantau Panjang sebagai destinasi beli-belah serta pelancongan berbanding bandar sempadan di Thailand," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahabbah Kepimpinan Kelantan bersama Media 2025, di sebuah hotel di Tunjong, semalam.

Menurutnya, usaha tersebut akan menghidupkan kembali ekonomi setempat dan menarik lebih ramai pelabur dan pelawat ke kawasan itu.

'Kerajaan negeri turut mengenal pasti lokasi strategik bagi pembangunan zon bebas cukai baharu dengan proses pengambilalihan tanah sedang dalam perancangan.

Dato' Mohamed Fadzli menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang telah diberikan bagi merancakkan pembangunan bandar sempadan.

Beliau yakin Rantau Panjang sebagai bandar sempadan Malaysia - Thailand akan terkenal sebagai zon bebas cukai dan pusat beli-belah utama di Kelantan.

Tambahnya, bandar itu juga berpotensi untuk berkembang lebih jauh sebagai pusat pelancongan yang lebih menarik.

"Kita yakin peniaga dan penduduk setempat turut menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dan kerajaan pusat  kerana ia membuka peluang ekonomi baharu serta memperkukuh kedudukan Rantau Panjang sebagai hab ekonomi sempadan yang lebih kompetitif," jelasnya ketika dihubungi, hari ini.

Post a Comment

0 Comments