Ticker

6/recent/ticker-posts

PERKIM KELANTAN TERIMA RM30,000 DARIPADA MAIK UNTUK KEBAJIKAN MUALAF

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 20 Februari 2025 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Wanita Kelantan menerima sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi memperkasa kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada golongan mualaf dan masyarakat Islam setempat.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua MAIK YBM Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Abdul Aziz kepada Pengerusi PERKIM Kelantan Datin Panglima Perang Ustazah Datin Wan Norhanita Wan Yaakob dalam Majlis Pembentangan Laporan Kutipan dan Agihan Zakat MAIK Tahun 2024 di sebuah hotel, hari ini. 

Menurut Datin Wan Norhanita, PERKIM Kelantan kini mempunyai 365 ahli wanita dan sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan serta program keagamaan sepanjang tahun.

Katanya, antara program yang telah dianjurkan ialah Majlis Khatam Al-Quran pada 1 Februari di Masjid Khadijah, Kampung Surau Kota, Kota Bharu, yang menghimpunkan seramai 60 peserta.

Selain itu, Program "Back to School" untuk 65 anak mualaf telah diadakan pada 6 Februari, diikuti Majlis Santuni Mualaf Baharu di Tumpat pada 8 Februari.

"Dalam masa terdekat, PERKIM akan menganjurkan Program Tadabbur Al-Quran pada 22 Februari yang bakal disampaikan oleh Ustaz Abd Muein Abd Rahman, Pengerusi Pertubuhan Ghulam Al Dakwah.

"Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap Al-Quran dalam kalangan ahli," jelasnya.

Datin Wan Norhanita bersama seluruh saf kepimpinan dan warga PERKIM merakamkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan padu MAIK terhadap badan bukan kerajaan.

Beliau berharap kerjasama itu dapat diteruskan bagi memastikan kebajikan golongan mualaf terus terbela.




Post a Comment

0 Comments