Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA BHARU, 11 Februari – Bekas guru dan kakitangan Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menubuhkan Persatuan Pesara Yayasan Islam Kelantan dalam usaha meneruskan peranan mereka dalam bidang pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Majlis perasmian persatuan dan mesyuarat agung pertamanya disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di Dewan YIK, Tunjong, pada Isnin.
Menteri Besar dalam ucapannya berharap agar persatuan ini menjadi wadah untuk para pesara terus menyumbang bakti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu dan pengalaman.
![]() |
Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud |
"Para pesara boleh terus berkhidmat dengan berkongsi idea, pengalaman dan kepakaran dalam bidang pendidikan, selain menjadikan persatuan ini sebagai platform untuk memperkukuh hubungan sesama ahli.
"Mereka juga boleh menyumbang kepada masyarakat dengan mengajar dan menyebarkan kefahaman Islam di tempat masing-masing.
"Semoga segala jasa dan kebajikan yang dicurahkan selama ini menjadi aset berharga untuk kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat," katanya menerusi catatan di media sosial.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Dato’ Wan Roslan Wan Hamat menyifatkan penubuhan persatuan ini sebagai langkah penting dalam menjaga kebajikan pesara YIK serta mengiktiraf sumbangan mereka.
"Persatuan ini bukan sekadar menghargai jasa pesara, tetapi juga memastikan kebajikan mereka terus terbela. Ia menjadi platform untuk mempereratkan hubungan silaturahim serta memperjuangkan kepentingan ahli," katanya menerusi laman sosial.
0 Comments