![]() |
| Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 November – Kerajaan Negeri Kelantan bercadang mengasingkan struktur pentadbiran Dewan Negeri daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) bagi memperkukuh peranan Dewan sebagai badan legislatif tertinggi di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata langkah itu penting bagi memastikan Dewan Negeri mempunyai struktur organisasi tersendiri dan bebas daripada pengaruh cabang eksekutif.
"Terdapat cadangan untuk mengasingkan struktur pentadbiran Dewan Negeri Kelantan daripada bahagian MMK yang merupakan cabang Eksekutif, manakala Dewan Negeri pula sebagai badan legislatif.
Ia institusi tertinggi di peringkat negeri yang perlu ada organisasi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
![]() |
| Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh, YB Dato’ Abdul Rahman Yunus |
Menurut Dato' Dr. Mohamed Fadzli, antara cadangan yang dibincangkan termasuk menempatkan bangunan pentadbiran Dewan Negeri di kawasan Dewan Negeri Kelantan sendiri dan bukan lagi di tingkat sembilan Mabna MBI, bagi menampakkan pemisahan jelas daripada cabang eksekutif negeri.
“Bangunan pentadbiran Dewan dicadangkan supaya berasingan daripada MMK dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),” katanya.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri sudah menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Dewan menerusi Jawatankuasa Terpilih Bil. 1/2025 yang dipengerusikan oleh ADN Melor YB Wan Rohimi Wan Daud.
"Jawatankuasa itu dianggotai oleh wakil Bahagian Sumber Manusia, Bahagian Undang-Undang Negeri Kelantan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Perbendaharaan Negeri, Bahagian Khidmat Pengurusan serta Dewan Negeri Kelantan," ujarnya.
Menjawab soalan tambahan dari ADN yang sama berhubung usaha pendigitalan Dewan, Dato' Dr. Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri turut merancang memperkenalkan portal khas Dewan, arkib digital dan pusat penyelidikan untuk kemudahan Ahli Dewan serta rakyat.
"Kerajaan negeri memang berusaha ke arah pendigitalisasian Dewan bagi memastikan segala urusan dan maklumat dapat diakses dengan lebih efisien dan telus,” katanya.


0 Comments