SALMAH HUSAIN
KOTA BHARU: Seramai 850 anak yatim, armalah dan golongan asnaf menerima sumbangan pelbagai agensi kerajaan negeri sempena program Kasih Ramadan.
Program itu dianjur Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta agensi-agensi kerajaan negeri.
Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah di Dewan Madinah Ramadan, di sini semalam.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed berkata, program berkenaan antara agenda utama yang diadakan setiap tahun di Madinah Ramadan sejak ia diperkenalkan pada tahun 1993.
Menurutnya program tersebut melibatkan 850 penerima yang terdiri daripada 300 penerima daripada MAIK, 450 mewakili sembilan Jawatankuasa Penduduk (JKP) iaitu Chempaka, Bunut Payong, Kota Lama, Tanjong Mas, Panchor, Kijang, Pasir Tumboh, Demit dan Salor.
“Selain itu 100 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Bahagian Landskap MPKB-BRI. Golongan kurang berkemampuan sentiasa diutamakan, lebih-lebih lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya pada program berkenaan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Datuk Zamri Ismail, dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Anis Hussein.
0 Comments