MELENGKAPI FORMULA KEMENANGAN: PENGAJARAN BADAR UNTUK PEJUANG ISLAM

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 12 Mac – Peperangan Badar yang diabadikan dalam Surah al-Anfal merupakan pedoman abadi bagi umat Islam dalam mengatur strategi kemenangan.

Surah yang turut dikenali sebagai al-Qital, al-Furqan dan Badar tersebut menggariskan prinsip utama dalam meraih pertolongan Allah SWT.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan bahawa kemenangan hakiki bukan sekadar berpaksikan strategi, tetapi bergantung sepenuhnya kepada pertolongan Allah SWT.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 64 yang bermaksud, "Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman."

Merujuk tafsir Syeikh Wahbah al-Zuhaili, Menteri Besar menjelaskan bahawa ayat 45 hingga 47 dalam surah berkenaan mengandungi enam kaedah utama yang menjadi formula kemenangan dalam menghadapi cabaran.

Pertama, thabat atau keteguhan hati dalam menghadapi musuh. Seseorang pejuang tidak boleh goyah atau lari dari medan perjuangan, sebaliknya perlu berdiri teguh mempertahankan kebenaran.

Kedua, zikir dan doa yang berterusan kepada Allah SWT. Kebergantungan sepenuhnya kepada-Nya dengan mengingati-Nya melalui hati dan lisan serta merendahkan diri dalam doa merupakan kekuatan spiritual yang sangat penting.

Ketiga, disiplin dan ketaatan terhadap perintah Allah dan Rasul. Selain itu, ketaatan kepada pemimpin yang memimpin perjuangan juga merupakan elemen penting dalam mencapai kemenangan.

Keempat, kesatuan dan ukhuwah yang kukuh dalam kalangan anggota perjuangan. Perpecahan dan perselisihan hanya akan melemahkan barisan pertahanan, justeru perpaduan adalah kunci utama kejayaan.

Kelima, kesabaran dalam menghadapi ujian dan cabaran. Kesabaran menjadi senjata utama yang perlu dimiliki setiap pejuang bagi memastikan perjuangan tidak terhenti di tengah jalan.

Keenam, menjauhi sifat tercela seperti takabbur, riya’ dan bermegah-megah. Sifat-sifat negatif ini boleh merosakkan niat serta menghilangkan keberkatan dalam perjuangan.

"Marilah kita menghayati pengajaran daripada perang Badar al-Kubra serta siri-siri peperangan lain yang menjadi sumber kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan Islam," seru beliau menerusi Bingkisan Ramadan Juz 10 yang disiarkan di media sosial pada Selasa.

Post a Comment

0 Comments