Ticker

6/recent/ticker-posts

Keunikan makanan Kelantan jadi tarikan pelancong



SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Keunikan makanan Kelantan merupakan antara tarikan utama pelancong ke negeri itu dan ia perlu dipastikan sentiasa bersih, keaslian resipi dan harga yang munasabah.


Timbalan Menteri Besar Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, begitu juga peniaga bazar Ramadan diingatkan sentiasa menjaga kebersihan dan tidak menjual makanan yang basi bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada pelanggan.


Katanya penjualan makanan basi boleh menjejaskan kesihatan pembeli, bahkan turut menimbulkan persoalan mengenai keberkatan rezeki yang diperoleh.


“Jika lauk yang sudah rosak masih dijual, dibimbangi kita memperolehi pendapatan tidak berkat, bahkan mungkin menjadi haram,” katanya  selepas menghadiri Program Nur Ramadan Wanita Peringkat Negeri Kelantan di Masjid Muhammadi di sini semalam. 



Program berkenaan dianjur Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri.


Media sebelum ini melaporkan  sepasang suami isteri terkejut mendapati ikan cencaru berlada yang dibeli di sebuah gerai di Bachok dipenuhi ulat ketika dipanaskan untuk bersahur.


Menurut beliau, rezeki daripada jualan pada bulan Ramadan sepatutnya bersih, halal dan baik, justeru aspek kebersihan penting diberi perhatian semua peniaga.


"Peniaga juga dingatkan tidak mengambil kesempatan pada bulan mulia ini dengan mengenakan harga yang tidak munasabah kepada pelanggan.


“Kelantan terkenal dengan makanan enak, harga berpatutan serta masyarakat yang mesra. Saya menyeru agar peniaga menjadi duta negeri ini kerana mereka berada di barisan hadapan," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments