KOTA BHARU: Beberapa program pembangunan akan dilaksana di kawasan Parlimen Kota Bharu khususnya melibatkan sektor belia dan wanita.
Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tumpuan itu merangkumi bidang kemahiran serta ekonomi yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
"Ini antara persetujuan awal yang dicapai dalam sesi perjumpaan bersama Penyelaras Wilayah Timur Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM)-SDG, Dr Siti Nur Ain Zakinuddin.
“Kita akan menyelaras serta mengemukakan cadangan program yang bakal diadakan nanti. Sebuah jawatankuasa bertindak juga akan ditubuhkan bagi merangka kertas cadangan untuk dibentangkan kepada pihak APPGM-SDG," katanya di sini semalam.
Menurutnya juga masalah yang berlaku di kawasan bandar mungkin berbeza dengan yang dihadapi oleh penduduk di pedalaman.
Oleh itu beliau berharap peruntukan yang disediakan di bawah program SDG sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan isu kelestarian di kawasan Parlimen Kota Bharu.
Sementara itu Dr. Siti Nur berkata, dapatan libat urus dengan pelbagai pihak di Parlimen Kota Bharu mengenal pasti beberapa isu utama termasuk kebajikan, sosial, infrastruktur, ekonomi dan alam sekitar.
Kata beliau dengan dana yang terhad, bukan semua isu dibangkitkan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.
“Namun, saya akan berusaha untuk memanjangkan perkara-perkara berkaitan kepada pihak yang berwajib,” katanya.
Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Pusat Komuniti APPGM-SDG Wilayah Pantai Timur di Lembah Sireh, Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman.
0 Comments