Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN MODEL PERPADUAN KAUM TARIK 50,000 PENGUNJUNG KE RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PAS KELANTAN



Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 10 April – Tema ‘Kelantan Model Perpaduan’ terbukti bukan sekadar slogan apabila lebih 50,000 pengunjung pelbagai kaum dan agama membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan 2025 yang berlangsung di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.

Majlis tahunan anjuran PAS Kelantan itu menjadi medan penyatuan masyarakat berbilang latar, termasuk kehadiran wakil komuniti silang budaya termasuk pemimpin orang asli dari suku kaum Jahai, Kampung Sungai Ruai, Jeli yang tampil memperagakan pakaian tradisional anyaman daun palas sebagai simbolik keharmonian budaya yang diraikan bersama.

Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyifatkan kehadiran pelbagai lapisan rakyat dalam suasana penuh kemesraan itu sebagai lambang perpaduan yang wajar dicontohi seluruh negara.

“Kita bersyukur dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan aman dan meriah.

"Namun, jangan kita lupa kepada saudara di Palestin yang diuji dengan penindasan.

"Doa dan bantuan kita amat diperlukan. Semoga mereka terus dilindungi Allah dan tabah mempertahankan al-Quds,” katanya menerusi ucapan perasmian.

YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan

Beliau turut mengingatkan tentang tanggungjawab ketua keluarga untuk menjaga institusi keluarga daripada terjebak dengan perkara melalaikan.

“Hari raya sebenarnya ialah untuk mereka yang takut kepada janji-janji ancaman Allah SWT.

"Oleh itu ketua keluarga mesti jaga keluarga sendiri daripada berbuat perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah.

"Keluarga ibarat pohon durian yang perlu dijaga dengan baik, jangan sampai senduduk liar tumbuh subur di sekelilingnya kerana kita lalai,” pesannya.

YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, Pesuruhjaya PAS Kelantan

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kelantan YB Dato' Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob menegaskan bahawa majlis tersebut mencerminkan kejayaan tarbiah Ramadan dalam membentuk masyarakat yang kembali kepada fitrah dan menjunjung nilai ubudiah kepada Allah SWT.

“Inilah saatnya kita mengeratkan silaturahim tanpa mengira warna kulit dan latar fahaman, bersatu di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

"Tema Kelantan Model Perpaduan adalah manifestasi kasih sayang dan simpati yang menjadi asas keamanan negeri ini,” katanya.

Majlis dimeriahkan dengan 35 stesen juadah tradisional dan fusion, persembahan kebudayaan, dan sesi ramah mesra bersama pemimpin, sekali gus memperkukuh hubungan rakyat dan kerajaan negeri.





Post a Comment

0 Comments