Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 10 April – Pewartaan Enakmen Ternakan Haiwan Ruminan 2023 oleh Dewan Negeri Kelantan (DUN) yang menggantikan Enakmen Lembu Kerbau 1968 diyakini mampu menangani isu haiwan ternakan berkeliaran yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri YB Hilmi Abdullah berkata menerusi enakmen yang baharu itu, semua pemilik haiwan ruminan diwajibkan mendaftarkan haiwan ternakan mereka dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebagai langkah kawalan yang lebih sistematik.
“Pendaftaran ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Ketika ini, ia diwajibkan kepada haiwan yang baharu dilahirkan sahaja.
"Bagi haiwan yang telah besar, terutama yang diternak secara lepas di ladang-ladang kelapa sawit, pelaksanaannya masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di MABNA, Kompleks Kota Darulnaim, pagi tadi.
Mengulas lanjut, YB Hilmi menjelaskan bahawa usaha sedang giat dijalankan bersama JPV dan Exco Pertanian bagi memperluas pelaksanaan pendaftaran kepada semua haiwan ternakan termasuk haiwan dewasa dan liar.
“Kita mahu semua haiwan ternakan dikenal pasti pemiliknya. Setelah didaftarkan, setiap haiwan akan diberikan nombor pengenalan berbentuk tagging atau kod bar, memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pemilik sekiranya haiwan tersebut berkeliaran,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh isu anjing liar yang sering membimbangkan masyarakat, YB Hilmi menjelaskan bahawa hanya anjing yang disahkan menghidap penyakit rabies sahaja boleh dilupuskan, berdasarkan ketetapan undang-undang sedia ada.
“Ini antara kekangan utama pihak berkuasa tempatan (PBT). Sekiranya anjing yang tidak berpenyakit ditembak atau dilupuskan, ia akan mendapat bantahan daripada pertubuhan pencinta haiwan.
"Bagi membolehkan tindakan, laporan daripada komuniti tempatan perlu dikemukakan terlebih dahulu bagi mengesahkan risiko,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Hilmi turut menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham Mohd Akif Haiqal Mat Yusuf yang terkorban dalam satu kemalangan jalan raya akibat melanggar seekor lembu di Kilometer 7, Lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Perumahan Laman Firdaus, awal pagi Rabu.
![]() |
YB Hilmi menziarahi waris mangsa kemalangan dengan lembu rayau |
Beliau bersama wakil Pemuda Guchil hadir menziarahi keluarga mangsa dan menyertai majlis tahlil di Kampung Derdap Lebir sebagai tanda solidariti.
“Kes sebegini membuktikan betapa pentingnya kawalan ke atas haiwan ternakan.
"Enakmen ini bukan untuk menyusahkan penternak, sebaliknya bagi memastikan keselamatan awam dan kesejahteraan semua pihak,” tegasnya.
0 Comments