Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 24 April- “Pengeluaran hasil padi di Negeri Kelantan pada tahun ini dijangka meningkat dan mencukupi serta memberi peluang kepada Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn Bhd untuk membeli padi daripada petani tempatan.”
Demikian menurut Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Beliau juga memaklumkan lebih 90 peratus kawasan sawah ditanam padi di Negeri Kelantan pada tahun ini.
"Insya-Allah, dengan hampir seluruh kawasan sawah di Kelantan ditanam dengan padi akan berjaya mengeluarkan hasil padi yang baik, ditambah pula dengan cuaca yang baik pada tahun ini, di mana Allah SWT menurunkan hujan yang berterusan dan ia membantu para petani mengeluarkan hasil padi yang lebih banyak."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan di Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, hari ini.
Jelasnya lagi, dalam usaha untuk meningkatan lagi pengeluaran padi di Negeri Kelantan, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPK) dan syarikat pelabur bagi Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn Bhd telah merangka beberapa pelan strategik untuk memberi pendedahan kepada para petani menggunakan teknologi terkini.
"Kerajaan melalui KPKB akan menghantar petani, khususnya anak muda untuk mengikuti latihan pertanian di Akademi Padi di Kedah.
Untuk siri pertama, seramai lima orang peserta telah dihantar pada 13 April lepas. Insya-Allah untuk siri kedua, pelatih perkilangan padi Al-Falah dijangka akan diteruskan pada awal Mei 2025 ini yang melibatkan sepuluh orang peserta," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri akan membantu para petani untuk memastikan bekalan air pertanian untuk tanaman padi mencukupi bagi meningkatkan pengeluaran padi untuk dibekalkan ke kilang.
"Untuk permulaan, pam solar diperkenalkan di beberapa tempat melalui KPKB dan syarikat yang bertanggungjawab bagi tujuan memperkenalkan teknologi terkini agar dapat mengimbangi kos dan perolehan hasil tanaman," ujarnya.
Beliau yang juga ADN Selising memberi jaminan bahawa beras keluaran Kilang Padi dan Beras Darulnaim Sdn Bhd tidak bercampur dengan beras import.
"Kerajaan telah berbincang dan mengatur strategi bagi memastikan beras tempatan jenama Darulnaim yang diproses dan dikampitkan di kilang ini ditulis dengan perkataan "Beras Hasil Petani Kelantan" bagi memastikan beras tersebut tidak bercampur," ujarnya ketika menjawab soalan tambahan dari ADN Tawang, YB Harun Ismail.
0 Comments