Ticker

6/recent/ticker-posts

MB KELANTAN SANTUNI MANGSA LETUPAN GAS PUTRA HEIGHT: TUJUH KELUARGA ANAK PERANTAU DIBANTU


Oleh: Norzana Razaly

SHAH ALAM, 13 April - Kerajaan Kelantan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat tanpa mengira sempadan geografi.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd. Nassuruddin Daud bersama para pemimpin Kelantan turun padang menyantuni tujuh keluarga warga Kelantan yang terkesan dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Selangor.

Turut mengiringi, Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Md Daud bersama pemimpin negeri yang lain.

Menerusi program Ziarah Mahabbah kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu Menteri Besar Kelantan menyampaikan sumbangan cek RM5000 berserta barangan keperluan rumah dan dapur kepada setiap keluarga, di Nexus Regency Hotel, Shah Alam, hari ini.


Sumbangan itu adalah hasil kerjasama di antara Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Rohani Ibrahim dengan Pertubuhan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA).

Dalam ucapannya, Dato’ Mohd Nassuruddin berpesan agar mangsa bersabar sementara pihak kerajaan berusaha membantu sewajarnya.

“Teruskan berdoa semoga diberi kekuatan atas ujian yang menimpa. Kita di pihak kerajaan negeri memang sentiasa cakna dan prihatin kepada semua rakyat Kelantan termasuklah anak-anak Kelantan di perantauan,” ujarnya.

Beliau juga merakam penghargaan kepada Persatuan Anak Kelantan di Perantauan Malaysia (PERAKAN) yang menjadi penghubung utama dalam mengesan serta membantu mangsa-mangsa tragedi tersebut.


Tujuh keluarga terbabit ialah dua dari Kampungg Lata Janggut, Kuala Balah, Jeli manakala dua lagi dari Tanah Merah iaitu penduduk Kampung Bukit Gading dan Kampung Belimbing Dalam serta masing-masing sebuah keluarga dari Kampung Jejawi, Alor Pasir, Pasir Mas, Kampung Wakaf Bata, Kelewek, Machang dan Kampung Gong Pasir, Pasir Puteh.

Mereka kini ditempatkan sementara di Dewan Camelia dan Dewan Masjid Putra Heights, Puchong meluahkan rasa terharu dan penuh syukur atas keprihatinan pemimpin negeri.

“Payah nak jumpa kerajaan yang cakna seperti Kerajaan Kelantan sekarang. Rakyat susah yang jauh pun MB datang bantu,” kata salah seorang mangsa.

Post a Comment

0 Comments