Ticker

6/recent/ticker-posts

PERANTAU MUSLIHUN DIPERLUKAN, BINA MASYARAKAT BERBUDAYA ISLAH


Oleh: Norzana Razaly

SELANGOR, 13 April – Kerajaan Negeri Kelantan menyeru agar lebih ramai anak-anak Kelantan di perantauan tampil sebagai muslihun iaitu golongan yang membawa budaya pembaikan dalam masyarakat, sejajar dengan semangat tanggungjawab kolektif anjuran Islam.

Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menegaskan bahawa penglibatan aktif golongan perantau dalam usaha memperbaiki kerosakan sosial, moral dan sistem dalam masyarakat amat penting bagi menyokong dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran negeri.

“Tanggungjawab memperbaiki kerosakan dalam masyarakat bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata. Ia adalah amanah bersama yang mesti dipikul seluruh umat, termasuk anak Kelantan di luar negeri,” ujarnya.

Beliau menyampaikan mesej itu ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-19 Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (PERAKAN) yang diadakan di NAFAS Function Hall, Kota Damansara, pada Sabtu.


Seramai 190 perwakilan daripada 45 cawangan PERAKAN seluruh negara hadir dalam mesyuarat tersebut.

YB Mohd Asri turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu sesi 2025–2028, sambil menzahirkan keyakinan bahawa PERAKAN akan terus menjadi jambatan penting antara perantau dan kerajaan negeri.

“PERAKAN bukan sekadar entiti kenegerian, tetapi wadah strategik yang memperkukuh jati diri anak Kelantan melalui program ilmu, kebajikan dan pemupukan semangat hubbul watan,” jelas beliau.

Tambahnya, peranan PERAKAN kini berkembang lebih luas, melangkaui aktiviti kebajikan semata-mata apabila ia menjadi medan menyemarakkan semangat cintakan negeri dan menyumbang kepakaran dalam pelbagai lapangan.



Post a Comment

0 Comments