Ticker

6/recent/ticker-posts

SAMBUT SYAWAL JANGAN LUPA SAUDARA SEAGAMA DI PALESTIN

Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 7 April – Umat Islam diingatkan agar tidak melupakan penderitaan yang sedang ditanggung saudara seagama di bumi Palestin, khususnya di Gaza, ketika meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin telah berlarutan hampir 600 hari, menjadikan konflik tersebut sebagai antara tragedi kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden.

“Hari raya perlu kita sambut, namun dalam masa yang sama, jangan sesekali kita lupakan saudara seagama di bumi Palestin yang terus dizalimi dan diperangi oleh Zionis Israel laknatullah.

“Keadaan mereka sangat menyayat hati. Ramai kanak-kanak, warga emas dan orang awam terkorban dalam keadaan tragis, manakala hampir 90 peratus kawasan Gaza musnah akibat kekejaman berterusan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Demit yang diadakan di perkarangan Pasar Tok Kenali, Binjai, di sini semalam.

Beliau turut menyeru rakyat untuk terus berdoa sebagai tanda solidariti dan kebersamaan dengan perjuangan rakyat Palestin, selari dengan tema majlis iaitu "Cinta Palestin".

Dalam ucapannya, YB Mohd Asri turut merakam penghargaan kepada rakyat di DUN Demit yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga perpaduan serta mempertahankan kekuatan agama Islam.

“Saya sangat menghargai kerjasama dan kesepakatan rakyat di DUN Demit. Sebab itulah saya perkenalkan tag line ‘Demit Sepakat’ yang menggambarkan semangat kebersamaan rakyat dalam apa jua isu, lebih-lebih lagi yang menyentuh soal keutuhan agama dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Majlis yang dihadiri lebih 3,000 penduduk itu turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional seperti gulai kawah dan sate, mencerminkan semangat perpaduan dan kesyukuran rakyat menyambut lebaran.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan. YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman, ADN Pasir Tumbuh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus, ADN Salor YB Saizol Ismail, ADN Mengkebang YB Zubir Abu Bakar, Pengarah JAHEAIK, Dr Hasnan Ramli, Guru Pondok Moden Syeikh Wazir serta Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) Razuan Awang Hamad.

Post a Comment

0 Comments