Ticker

6/recent/ticker-posts

Tegas Membela Palestin: PAS Kelantan Sambut Seruan Jihad dan Solidariti Ummah



Badan Perhubungan PAS Kelantan menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Presiden PAS, YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berhubung fatwa yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkaitan isu Gaza.


Fatwa tersebut menekankan kewajipan umat Islam untuk bertindak, termasuk berjihad bagi yang berkemampuan, campur tangan ketenteraan oleh negara-negara Islam, mengepung rejim Zionis, serta memberikan sokongan menyeluruh kepada perjuangan rakyat Palestin dari segi ketenteraan, kewangan, dan politik. Ia juga menegaskan pengharaman normalisasi hubungan dengan rejim Zionis serta kewajipan membantu Gaza melalui harta dan desakan politik.


PAS Kelantan berdiri teguh bersama pimpinan PAS Pusat dalam mengangkat seruan syar’i ini sebagai suatu kewajipan ummah. PAS Kelantan menyeru seluruh rakyat Kelantan khususnya, dan umat Islam amnya, agar mempertingkatkan doa, sumbangan, serta tindakan solidariti demi membantu rakyat Palestin yang sedang dizalimi.


Negeri Serambi Mekah ini sentiasa istiqamah dalam perjuangan membela umat Islam, antaranya melalui Himpunan Aman Bebaskan Masjid Al-Aqsa dan Merdekakan Palestin peringkat Negeri Kelantan yang telah diadakan pada hari Jumaat, 28 Mac 2025. Marilah kita terus memanjatkan doa dan meneruskan bacaan Qunut Nazilah agar Allah SWT melindungi dan memberi kekuatan kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin.


YB Dato’ Bentara Kanan

Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob

Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan

8 Syawal 1446H / 7 April 2025

Post a Comment

0 Comments