Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 28 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk memperkukuh hubungan antara ulama, guru-guru pondok dan kepimpinan negeri menerusi penganjuran Liqa Mahabbah Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025.
Program tersebut diadakan Kediaman Resmi Menteri Besar, JKR10, hari ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, program berkenaan menghimpun para asatizah dan guru pondok dari seluruh negeri bagi mengeratkan silaturahim dan menyatukan kekuatan ummah dalam semangat mahabbah dan muzakarah.
“Program seperti ini perlu diteruskan dan diperbanyakkan agar pertemuan antara umara dan ulama bukan hanya berlaku sekali, tetapi menjadi platform tetap untuk menyatukan suara dalam usaha menerapkan dasar Membangun Bersama Islam dalam setiap aspek pentadbiran negeri,” ujar beliau ketika berucap merasmikan majlis tersebut, hari ini.
Menurut YB Mohd Asri lagi, kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk menganjurkan lebih banyak muzakarah ilmu dan ijtimak dalam membincangkan isu-isu penting umat Islam, selari dengan matlamat untuk menjadikan Islam sebagai teras pentadbiran dalam sektor ekonomi, sosial, kemasyarakatan dan sebagainya.
“Ulama dan umara mesti bersatu agar menjadi kekuatan yang ditakuti musuh Islam. Seperti yang ditegaskan oleh Almarhum Profesor Yusuf al-Qardhawi, topeng musuh-musuh Islam dan perancangan mereka untuk menghancurkan Islam telah terbongkar, maka umat Islam mesti hentikan perpecahan dan bersatu padu.
"Jadi umat Islam perlu mengelakkan dari sebarang pertelingkahan dan kekhilafan dan mesti membentuk kesatuan umat Islam yang amat ditakuti oleh musuh-musuh Islam pada zaman ini." katanya.
Beliau juga menekankan bahawa para ulama perlu menjadi qudwah kepada masyarakat dan menggalas tanggungjawab mendidik golongan jahil mutanasik iaitu golongan yang amat jahil terhadap agama.
"Para ulama, kerajaan, NGO, intitusi pendidikan dan lain-lain hendaklah berganding bahu untuk menyelesaikan isu ini supaya dalam negeri ini tidak ada yang jahil mutanasik ini
"Para asatizah, guru pondok dan ulamak bukan setakat hanya mengajar di pondok dan madrasah sahaja, tetapi perlu turun padang melalui dakwah atau apa-apa program sekalipun seperti daurah dan sebagainya untuk mendidik golongan ini,” tegas beliau.
Tambah YB Mohd Asri, dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap kewajipan asas Islam seperti solat dalam kalangan rakyat Kelantan, kerajaan negeri turut merancang untuk menjalankan kajian terperinci mengenai jumlah rakyat Kelantan yang tidak menunaikan solat sebagai langkah menyelesaikan isu berkenaan.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Pengerusi Ilmuan Islam Kelantan Dato' Hasan Mahmood, Naib Pengerusi Ilmuan Islam Kelantan Dato' Mohamad Awang, Timbalan Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad Tuan Guru Awang Yusuf, Syeikh Pusat Pengajian Pondok Moden, Kandis Tuan Guru Abdul Aziz Che Man dan Timbalan Pengarah Yayasan Amanah Tok Kenali Rosli Abdullah.
0 Comments