Ticker

6/recent/ticker-posts

ANAK SENI DIANGKAT MARTABAT, SENI DIJULANG BERSAMA DAKWAH — YB MOHD ASRI


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 25 Mei - “Seni ialah ruang dakwah yang penuh hikmah. Rasulullah SAW juga insan seni yang lunak dalam komunikasi, halus dalam menyampaikan. Justeru, anak seni perlu diraikan, bukan disisihkan.”

Demikian ujar Exco Pembangunan Islam, Penerangan, Dakwah dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Md Daud dalam ucapan alu-aluannya pada program Bicara Selebriti anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) di Perkarangan AEON Mall, Lembah Sireh, pada Jumaat.

Beliau menyifatkan kehadiran selebriti dan anak seni dalam program tersebut sebagai satu ruang untuk mengangkat martabat seni dan budaya ke tahap lebih tinggi.

“Almarhum Tok Guru Nik Aziz pernah menyebut, seni itu hikmah dan kebijaksanaan. Ia bukan hanya hiburan kosong, malah menjadi alat komunikasi yang menyentuh hati, terutama dalam pendekatan dakwah,” katanya.


YB Mohd Asri turut menekankan peranan seni sebagai medium komunikasi yang halus dan berkesan, seiring prinsip Islam yang meraikan kebijaksanaan dan sentuhan insani dalam mendidik masyarakat.

“Kita letakkan anak seni dalam kedudukan yang tinggi dalam pentadbiran MBI (Membangun Bersama Islam). Sebab kita percaya Dikir Barat boleh jadi ruang dakwah seperti khouli di Pakistan yang memuji Rasulullah SAW,” ujarnya.

Turut disentuh dalam sesi tersebut ialah sejarah kegemilangan seni Islam pada era kegemilangan Andalusia apabila tokoh muzik seperti Abul Hasan Ali Ibn Nafi atau lebih dikenali dengan nama Ziryab menjadi rujukan dunia kerana keindahan suara dan ciptaan alat muziknya.

Program yang bertemakan Seni dan Budaya itu menyaksikan dua tokoh seni tersohor Sabri Yunus dan Ardini Angeline Tan yang berkongsi kisah perjalanan hidup serta pandangan mereka terhadap dunia seni, budaya dan dakwah.


Sabri Yunus, yang dianugerahkan ikon Duta Seni Anak Kelantan, menyifatkan program tersebut sebagai satu langkah berani dan progresif Kerajaan negeri dalam mengarusperdanakan seni tempatan yang bermaruah dan bernilai tinggi.

“Program seni seperti ini mesti dianjurkan secara konsisten. Jangan hanya ukur kejayaan melalui program pertama,” ujarnya sambil berkongsi kenangan zaman kecilnya di Kampung Landak, sebuah perkampungan tanpa bekalan elektrik sedangkan kampungnya berhampiran premis kerajaan.

Beliau berkata, seni telah menyelamatkan kehidupannya daripada kesempitan. Sekali gus menepis tanggapan bahawa seni adalah milik golongan tercicir.

“Seni bukan lagi ‘hiburan kelas bawahan’. Di negara maju seperti Perancis, seniman dihormati, bahkan memiliki gelaran kedoktoran. Melukis, berlakon, menulis — semuanya perlukan ilmu,” katanya sambil menegaskan bahawa bakat hanyalah 20 peratus, selebihnya usaha dan pendidikan.

Ardini Angeline Tan, dalam sesi bicara yang sama, menyifatkan suaminya, Sabri, sebagai “ensiklopedia” dalam dunia seni.

Beliau mengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam bidang lakonan sejak tahun 1986, serta kenangan membintangi sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada 1994.

“Saya dibesarkan di Brickfields dalam komuniti India. Dunia seni membuka ruang interaksi antara kaum yang begitu indah,” katanya.

Sabri turut mengangkat contoh Dikir Barat yang kini diiktiraf sebagai seni rakyat dan diminati di negara seperti Jepun dan Singapura.

Menurutnya, walaupun seni tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit dan Selampit semakin kurang mendapat perhatian generasi muda sejak tahun 1970-an, namun seni-seni rakyat seperti Dikir Barat mampu dikembangkan.

Menutup bicara, YB Mohd Asri mengucapkan penghargaan kepada pasangan selebriti itu serta UPKN selaku urusetia utama program yang berjaya menarik kehadiran pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

“Insya-Allah, program seperti ini akan diteruskan bersama selebriti lain dengan tema berbeza sepanjang tahun ini,” katanya sambil menyifatkan kerjasama AEON Mall sebagai contoh sinergi sektor swasta dalam memartabatkan seni Islami.

Post a Comment

0 Comments