Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 22 Mei – Kelantan menyambut baik penganjuran acara berprestij berskala kebangsaan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat pengiktirafan pelbagai pihak termasuk penglibatan kerabat diraja, sekali gus membuktikan keupayaan negeri ini sebagai tuan rumah yang diyakini di peringkat nasional dan antarabangsa.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati menjadi rakan strategik Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) dalam menjayakan Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 yang berlangsung di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, pada Rabu.
“Penganjuran berskala besar seperti ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kepimpinan dan jati diri dalam kalangan beliawanis, malah memberi impak langsung kepada sektor pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui pasca acara.
Beliau menjunjung kasih atas keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli merasmikan persidangan tersebut.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah selaku Penaung Diraja PPPM Cawangan Kelantan serta delegasi diraja dari pelbagai negeri.
Turut hadir, Yang Dipertua PPPM Kebangsaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersama isteri Menteri Besar Kelantan Datin Panglima Perang Ustazah Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob
Menurut Datuk Kamarudin, lebih 1,000 ahli Pandu Puteri dari seluruh negara berhimpun di Kelantan sepanjang persidangan yang berlangsung dari 19 hingga 22 Mei, sekali gus menjadi platform pertukaran idea, pemantapan jati diri dan promosi destinasi pelancongan tempatan.
“Delegasi turut dibawa melawat ke beberapa lokasi ikonik seperti Pasar Siti Khadijah dan kawasan peranginan bagi memperkenalkan keunikan budaya serta produk pelancongan negeri,” katanya.
0 Comments