Ticker

6/recent/ticker-posts

RAJA PERMAISURI AGONG RASMIKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PPPM KALI KE-60 DI KOTA DARULNAIM


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 21 Mei – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang berlangsung di Dewan Tok Guru Dato' Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda selaku Penaung Diraja PPPM, disambut oleh Penaung Diraja PPPM Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Yang Dipertua PPPM Kelantan Tengku Amalin A’ishah Putri Sultan Ismail Petra serta Yang Dipertua PPPM Johor Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Turut mengiringi, Yang Dipertua Kebangsaan PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.

Dalam titah perasmian, Raja Zarith Sofiah menekankan kepentingan penguasaan kemahiran digital dalam kalangan ahli PPPM agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

“Kemajuan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Saya berharap ahli persatuan ini akan menjadi generasi celik digital yang bijak memanfaatkan teknologi, namun tetap beretika dan berjiwa insan,” titah baginda.

Raja Zarith Sofiah turut mengiktiraf peranan PPPM sebagai wadah penting dalam menyemai perpaduan, empati dan kepedulian sosial, khususnya dalam suasana global yang semakin mencabar.

“Saya menyeru agar semangat perpaduan yang terbina dalam persatuan ini terus diperkukuh dan diperluaskan ke seluruh lapisan masyarakat demi kestabilan dan kemajuan negara yang kita cintai,” titah baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan kegembiraan melihat penglibatan aktif anak-anak gadis dalam aktiviti persatuan serta mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Pandu Puteri Raja sebagai bukti kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Post a Comment

0 Comments