Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN KOMITED AKTIFKAN SEMULA INDUSTRI KOKO, FOKUS LAHIRKAN USAHAWAN TANI, PRODUK HILIRAN


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 26 Mei – Kerajaan Negeri Kelantan komited menggiatkan semula industri koko sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, dengan memberi tumpuan terhadap pembangunan usahawan tani dan penghasilan produk hiliran yang berdaya saing.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan melalui promosi penanaman semula koko serta pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik biokomoditi yang berasaskan koko.

“Insya Allah, kerjasama erat di antara Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) diyakini dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berdaya saing, melalui pelbagai program sedia ada yang akan terus diperkasakan,” katanya menerusi satu catatan di media sosial beliau, semalam.


Tambah beliau, Kelantan turut menyambut baik penganjuran Malaysia International Cocoa Conference & Fair (MICE 2025) yang disifatkan sebagai platform penting bagi mempromosikan potensi koko, bukan hanya dari aspek pertanian tetapi juga inovasi dan nilai tambah produk hiliran.

Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Penyelidikan) LKM Dr. Ahmad Kamil Mohd Jaafar mengadakan lawatan ke beberapa gerai pameran sempena persidangan tersebut yang berlangsung di Dewan Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kinabatangan, mulai 24 hingga 27 Mei.

Turut menyertai lawatan ialah wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) Mohd Hafizie Hashim dan Penolong Pengurus KBCSB Mohd Afzanizan Arif.


Sementara itu, Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramlee Kasin seperti dilaporkan portal Sabahheadlines.com pada 21 Mei lalu, menyatakan bahawa MICF 2025 bertujuan mengangkat industri koko negara ke tahap lebih tinggi agar menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

MICF 2025 yang menghimpunkan pelbagai pemain industri tempatan dan antarabangsa, dijangka menjadi pemangkin kepada penerokaan teknologi baharu, inovasi produk serta pembukaan pasaran eksport lebih meluas bagi produk berasaskan koko Malaysia.



Post a Comment

0 Comments