SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Usaha untuk mencegah dan menangani HIV dalam kalangan remaja memerlukan keberanian dan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, masyarakat, institusi pendidikan serta media.
Ketua Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perikatan Nasional (PN) Datuk Siti Zailah Mohd Yusof berkata, peningkatan membimbangkan kes jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya Perikatan Nasional menggesa kerajaan melaksanakan usaha pencegahan dan intervensi HIV yang lebih berani serta berkesan.
Katanya laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tahun 2024 menunjukkan sebanyak 3,185 kes baharu direkodkan, dengan remaja berumur 13 hingga 19 tahun merangkumi 4 peratus daripada jumlah tersebut.
"Trend semasa menunjukkan punca jangkitan utama ialah hubungan seksual termasuk dalam kalangan pelajar. Ini menggambarkan kegagalan sistem pendidikan dan sokongan sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya juga kegagalan sistem pendidikan seksual yang berkesan serta kelemahan sistem sokongan emosi dan nilai dalam kalangan remaja turut menjadi punca.
Statistik dikeluarkan menunjukkan 90 peratus penghidap HIV lelaki, 75 peratus berumur antara 20 hingga 39 tahun, manakala Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,085 kes atau 34.1 peratus.
Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, 10 cadangan strategik dan progresif sebagai langkah pencegahan dan intervensi.
Selain itu mencadangkan kurikulum kesihatan reproduktif menyeluruh yang berakhlak, audit kandungan digital di sekolah dan IPT, pengiktirafan zon pendidikan selamat HIV, kempen media sosial belia dengan naratif sebenar serta latihan khas kepada guru dan warden.
"Antara langkah intervensi yang dicadangkan termasuk penubuhan Klinik Intervensi Remaja, pasukan 'Rakan Rescue' di sekolah dan IPT, program pemulihan identiti, aplikasi mudah alih “Rahsia Selamat” serta dana mikro kepada NGO dan persatuan pelajar.
"Pendekatan luar kebiasaan amat diperlukan bagi menangani isu ini secara berani dan menyeluruh," ujarnya.
0 Comments