SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatat peningkatan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2024 kepada 2.53 peratus berbanding tahun 2023.
Manakala seramai tujuh calon memperolehi 10 Mumtaz semua mata pelajaran. Dan seramai 43 calon pula memperolehi pangkat Mumtaz berbanding seramai 28 orang pada tahun 2023.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Kamaruzaman Mohamad berkata, pencapaian pangkat Jayyid Jiddan seramai 161 calon berbanding 117 calon pada tahun 2023.
Katanya, pangkat Jayyid pula seramai 266 calon, Maqbul (lulus) seramai 42 orang dan Rasib (gagal) seramai 385 orang.
"Pencapaian gred purata YIK menunjukkan penurunan daripada 3.09 peratus pada tahun 2023 kepada 3.19 peratus pada 2024," katanya pada sidang media sempena keputusan STAM di Kompleks YIK Tunjong, dekat sini semalam.
Hadir sama, Pengarah YIK, Zulkifle Ab Rahman, Timbalan Pengarah (Sekolah), Ahmad Pakhruddin Deraman, Timbalan Pengarah (Akademik) Sukeri Hussin.
Maahad Muhammadi Lelaki muncul sekolah terbaik setelah memperolehi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.10, diikuti Maahad Muhammadi Perempuan (2.44) dan tempat ketiga Maahad Muhammadi Pasir Pekan (2.72).
Maahad Muhammadi Pasir Pekan menduduki tempat pertama bagi kategori Maahad Pilihan, diikuti Maahad Muhammadi Pasir Mas dan Maahad Muhammadi Tumpat.
"Maahad Syamsul Maarif (Lelaki) pula tempat pertama kategori Maahad Kerajaan, kedua Pusat Pengajian Pondok dan ketiga Maahad Syamsul Maarif (P)," katanya.
Sementara itu, anak anggota Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail, Tuan Mohd Al-Syafie merupakan salah seorang daripada tujuh pelajar yang mendapat 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran.
Tuan Al-Syafie merupakan pelajar Pusat Pengajian Pondok Kandis, Bachok.
0 Comments