Ticker

6/recent/ticker-posts

Penerokaan REE di luar hutan simpan



KOTA BHARU: Pembangunan unsur nadir bumi (REE) akan dimulakan di kawasan yang tidak mempunyai masalah dengan larangan melakukan sebarang penerokaan di kawasan hutan simpan dan lokasi sensitif alam sekitar (KSAS).


Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, terdapat sesetengah perkara memerlukan kerajaan negeri mengikuti prosedur ditetapkan kerajaan Pusat.


Katanya Kerajaan Kelantan memerlukan kerjasama kerajaan Pusat dalam usaha penerokaan dan memajukan industri REE di negeri itu. 


"Apabila kerajaan Pusat memberi peluang, kerajaan negeri tidak boleh melakukan begitu sahaja tanpa merujuk prosedur yang ditetapkan. 


"Dalam konteks Kelantan, kita mulakan dengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) terlebih dahulu,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam. 


Dr Mohamed Fadzli juga berkata, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa lokasi REE yang tidak mempunyai masalah untuk dilaksanakan penerokaan dengan dua daripadanya dilulus kepada PMBK dengan kerjasama dua syarikat.


Menurutnya perjanjian mengenainya akan diadakan tidak lama lagi dalam usaha penerokaan dan pembangunan REE di Kelantan. 


Tambahnya PMBK juga berbincang dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd. untuk memulakan usaha berkenaan.


“Kerajaan Persekutuan juga perlu mempunyai hala tuju untuk pembangunan industri nadir bumi termasuk ke mana mahu dibawa dan dipasarkan hasil REE yang diteroka,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments