KOTA BHARU, 21 Mei 2025 – Naib Presiden PAS, YB Dato' Sri Amar D'Raja Dato' (Dr.) Haji Mohd Amar bin Haji Abdullah menegaskan bahawa jawatan tertinggi dalam parti khususnya Presiden dan Timbalan Presiden mesti terus dipegang oleh tokoh berpendidikan agama bagi menjamin kelangsungan perjuangan Islam yang menjadi asas perjuangan PAS.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Sisi Pandang yang berlangsung di sini.
Menurut Mohd Amar, pemilihan kepimpinan yang sedang berlangsung ketika ini amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju masa depan PAS yang kini berada pada kedudukan paling kuat dalam sejarah politik negara.
“Kita sedang mendaki dan hampir sampai ke puncak. Dengan 43 kerusi Parlimen, lebih 100 kerusi DUN serta menguasai empat negeri, sebarang perubahan dalam kepimpinan akan memberi kesan besar terhadap masa depan parti,” katanya.
Beliau turut menyeru para perwakilan agar membuat pilihan yang bijaksana demi kesinambungan gerakan Islam yang telah lama menjadi tunjang perjuangan PAS.
Mohd Amar menegaskan bahawa PAS sebagai sebuah parti Islam memerlukan barisan kepimpinan yang mempunyai kefahaman mendalam terhadap ilmu agama terutamanya dalam bidang fiqh, usul fiqh, qawaid fiqh dan siyasah syar’iyyah.
“Presiden dan Timbalan Presiden mestilah individu yang mampu membuat keputusan tepat dan segera berasaskan prinsip syariah. Tak boleh tunggu Majlis Syura semata-mata dalam isu-isu mendesak,” ujarnya.
Menggunakan analogi dunia korporat, beliau menyamakan peranan Presiden parti dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang perlu mempunyai kepakaran dalam bidang yang diterajuinya.
“Kalau CEO syarikat perlu mahir dalam perniagaan, maka Presiden parti Islam mestilah mahir dalam ilmu agama. Ini penting untuk pimpin gerakan Islam dengan betul,” jelasnya.
Mohd Amar turut menafikan bahawa kenyataannya bermaksud menolak individu yang tidak berlatar belakangkan pendidikan agama. Sebaliknya, katanya, setiap anggota parti mempunyai peranan tersendiri dalam struktur organisasi.
“Sejak dahulu saya konsisten dengan pendirian ini. Kepimpinan ulama penting untuk pastikan PAS terus berada atas landasan Islam. Lihat Tok Guru Nik Aziz, walaupun tidak berpengalaman mentadbir, beliau membawa perubahan besar di Kelantan selama lebih dua dekad,” katanya lagi.
Tambah beliau, pencapaian PAS hari ini termasuk kejayaan memenangi 43 kerusi Parlimen adalah hasil kepimpinan YB Tan Sri Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, seorang ulama.
0 Comments