![]() |
YB Hilmi Abdullah, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan |
Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 4 Jun — Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sekali lagi membuktikan kecemerlangan perkhidmatannya apabila seramai 41 warganya diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024.
Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan YB Hilmi Abdullah, di Dewan Jubli Perak, pada Ahad.
YB Hilmi menyifatkan majlis yang penuh penghargaan itu sebagai manifestasi komitmen MPKB-BRI dalam mengangkat budaya kerja cemerlang dan menyemai iltizam dalam kalangan seluruh warga kerjanya.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah dan berharap agar penerima APC 2024 akan terus menjadi pencetus semangat kepada 818 lagi kakitangan MPKB-BRI untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan bandar secara konsisten.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu dorongan untuk semua warga kerja terus memberikan khidmat terbaik yang mendukung aspirasi Kota Bharu sebagai sebuah bandar raya Islam yang mampan dan progresif,” katanya.
Antara pencapaian signifikan yang turut diraikan ialah kejayaan Bahagian Mekanikal MPKB-BRI dalam pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala Menteri KPKT, apabila projek inovasi mereka berjaya meraih tempat ke-10 daripada 30 penyertaan akhir, sekaligus membawa pulang geran bernilai RM35,000 daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
MPKB-BRI turut memperkukuh kedudukannya sebagai antara PBT terbaik negara dengan pelbagai pengiktirafan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun 2024. Antara pencapaian utama termasuk Bandar ke-16 Terbaik Asia Tenggara dan ke-433 Terbaik Dunia, Anugerah The Champion of Ease of Doing Business bagi kelulusan terpantas projek skala kecil PBT seluruh Malaysia, Bandar Mampan 2024 dan melepasi Indeks Kebahagiaan 2025 berdasarkan penilaian MurniNets, Johan Taman Rekreasi Awam dan Johan Taman Perumahan Terbersih dalam pertandingan Kelantanku Bersih 2024.
Tidak terkecuali, Anugerah Lima Bintang sempena Audit Penilaian Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2024.
YB Hilmi juga memperakui kejayaan berterusan itu jelas membuktikan keberkesanan tadbir urus, kecekapan pentadbiran serta kekuatan modal insan MPKB-BRI yang menjadi tulang belakang dalam merealisasikan misi bandar yang bersih, indah, efisien dan berintegriti.
0 Comments