SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Permainan catur bukan sahaja mengasah keupayaan minda dan strategi, malah menjadi medium memperkukuh ukhuwah serta memupuk gaya hidup sihat.
Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS) Muhammad Firdaus Mohamed Nawi, berkata, sukan seperti catur memberi ruang untuk melatih fokus, mengawal tekanan dan menyihatkan minda.
Katanya catur merupakan seni berfikir yang menggabungkan perancangan, kawalan emosi dan disiplin dalam membuat sesuatu keputusan.
Katanya ia wajar dimanfaatkan sebagai salah satu bentuk terapi mental secara semula jadi.
“Catur bukan sekadar permainan. Ia mengajar kita menilai risiko, menerima kekalahan dengan berlapang dada, dan berfikir secara sistematik.
"Dalam erti kata lain, ia mendidik akal dan akhlak secara serentak,” katanya pada perasmian Pertandingan Catur Terbuka Kelantan bagi merebut Piala Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) semalam.
Kejohanan itu kerjasama antara U-BeS dan Kelab Smart Pawn Legacy dengan penyertaan kelab catur dari seluruh jajahan dan luar Kelantan.
Firdaus berkata, berdasar laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023, satu daripada empat rakyat Malaysia mengalami gangguan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.
0 Comments